fbpx

Hutang budi ‘Nurul Ain’ – Wafariena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAFARIENA

MELEDAK dengan watak Nurul Ain, Wafariena mendedahkan realiti hidupnya tidak disangka banyak orang. Lahir daripada keluarga yang berpecah-belah cukup menjadi sempadan buatnya. Dia enggan terjebak sebagai ‘orang ketiga’ dalam kebahagiaan orang lain.

Wafa tahu setiap tindakan baik atau buruk pasti ada pengakhiran yang sepatutnya. Jadi, menjadi prinsipnya untuk menjaga perilaku, sekali gus fokus terhadap karier demi sebuah kehidupan yang bermanfaat pada hari muka.

Berbeza karakter yang dijayakannya dalam naskhah yang mencetuskan fenomena luar biasa, 7 Hari Mencintaiku 2 (7HM2) iaitu Nurul Ain, hakikatnya wanita berusia 25 tahun itu menjalani kehidupan sarat dengan tekanan.

Ketika baru hendak mengenal dunia, Wafa atau nama lengkapnya, Wafariena Roslan berdepan ‘taufan’ yang tidak pernah terjangkau dalam fikiran. Porak-poranda berlaku depan mata apabila ibunya, Mimi Suzana Hamad, 56, diceraikan bapanya. Pada waktu tersebut, dia berusia 15 tahun.

Beban emosi yang dilalui benar-benar membentuk jati dirinya. Pada usia mentah, dia harus menelan getir orang dewasa dan segera menjadi matang mengenal resam hidup.

Detik sukar si ibu membesarkan tujuh anak sendirian menebal dalam jiwanya dan terdetik dalam hati, mana mungkin dia sanggup menjadi penyebab kesukaran wanita lain pada masa depan.

“Hanya Allah yang tahu kesusahan dialami kami sekeluarga terutama ibu yang berhempas-pulas membesarkan kami tujuh beradik.

“Jadi, kalau orang tuduh saya dalam kehidupan sebenar pun memang ‘Nurul Ain’ yang ingin merampas suami orang. Saya tegaskan di sini, bahawa saya tidak akan buat perkara bodoh seperti itu kerana saya juga terkesan daripada episod yang sama,” kata Wafa kepada Pose dalam satu sesi fotografi khas di Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

 

Hidup susah

Enggan terlalu memperincikan selumbar yang menyakitkan kehidupan lampau, Wafa bagaimanapun bersyukur setidak-tidaknya, watak Nurul Ain berhasil memacu deras namanya sebagai pelakon.

“Kalau berkunjung ke pusat beli- belah pun, orang sudah boleh kenal saya walaupun pakai pelitup muka. Saya tanya macam mana boleh cam, mereka kata tengok kening pun kenal (tertawa).

“Sebelum ini, saya menyanyi dan pernah ada single pun orang tidak perasan. Sekarang orang gali semula single saya dalam YouTube. Daripada jumlah tontonan yang suam-suam kuku, sekarang sudah hampir cecah 200,000 tontonan.

“Saya sungguh terhutang budi dengan Nurul Ain,” tutur anak keempat daripada tujuh adik-beradik itu.

Seperkara yang tidak diketahui orang, Wafa sebenarnya fasih bertutur bahasa Mandarin.

“Sejak sekoah rendah hingga menengah, saya belajar di sekolah Cina. Dengan kelebihan ini, saya ingin melebarkan bakat nyanyian ke peringkat antarabangsa. Kalau boleh bina nama di China. Siapa tahu, mungkin suatu hari rezeki saya pula di sana,” jelasnya.

 

 

Nyanyi sambilan

Melanjutkan bicara, Wafa berkata, dia sebelum ini bekerja secara sambilan sebagai penyanyi untuk band Polis Diraja Malaysia (PDRM). Daripada situ, dia mengasah bakat nyanyiannya.

“Sudah tiga tahun saya menyanyi secara sambilan untuk band PDRM.

“Insya-Allah, kalau PDRM panggil menyanyi, saya tetap menyanyi kerana itu juga periuk nasi saya. Minat menyanyi memang tidak pernah luntur,” jelasnya.

Ditebak pertanyaan apakah pegangan atau syarat yang diletakkan untuk terus berkelana dalam dunia seni, jawabnya begini: “Saya tidak mahu terlalu seksi.”

“Saya perlu jaga penampilan. Saya masih ingat lagi masa hari pertama penggambaran 7HM2, saya segan-segan untuk melentok di bahu Shukri Yahaya (Khuzairi).

“Saya tahu ada yang suka dan ada juga yang tidak suka disebabkan watak Nurul Ain, namun sebagai pelakon, itu semua realiti yang harus diterima,” luahnya.

Diajak bercerita dengan lambakan kisah negatif yang dikaitkan dengan dirinya, Wafa berkata, dia bukan ingin sengaja mencari publisiti namun sekadar berkongsi ‘harga’ yang harus dibayar apabila menjadi anak seni.

 

 

Harga seorang pelakon

“Macam-macam cerita keluar selepas watak Nurul Ain menjadi perbualan. Mungkin saya masih baharu, kalau orang tanya, saya jawab sahaja.

“Saya percaya, semakin lama saya berada dalam industri, saya akan lebih matang dalam menangani kontroversi dan segala pertanyaan yang diajukan oleh media.

“Izinkan saya belajar untuk mengenali dunia seni yang penuh dengan onak duri ini. Kalau orang masih perlukan saya. Insya-Allah, yang terbaik akan saya berikan untuk peminat yang tidak henti-henti menyokong,” jelas Wafa yang amat meminati penyanyi Ziana Zain.

Diusik pertanyaan sama ada dirinya sudah memiliki teman lelaki, jawab Wafa secara berseloroh: “Ada ramai tapi yang paling Wafa sayang cuma seorang iaitu Shah Rukh Khan (tertawa). Tiada teman lelaki, buat masa sekarang, sibuk cari rezeki.

“Memang tiada masa untuk hal-hal berkaitan cinta. Tapi seperti yang saya katakan tadi, kalau ada jodoh, saya akan pilih lelaki bujang.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI