SEBERANG PERAI – Tiga penagih dadah lelaki termasuk dua warga Myanmar berusia 28 hingga 45 tahun ditahan polis dalam serbuan berasingan di sekitar Butterworth di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dalam Ops Tapis selama tiga hari berakhir pukul 1 pagi semalam itu, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah daripada suspek yang bernilai kira-kira RM20,500.
“Suspek pertama, lelaki Mynmar ditahan berdekatan stesen minyak Jalan Chain Ferry serta polis merampas kira-kira 54.6 gram (g) disyaki dadah jenis syabu dan (4.8 g) ganja.
“Suspek kedua, lelaki Myanmar ditahan di Taman Meranti dan kita merampas 209 g) heroin dan (10 g) syabu di sebuah rumah.
“Manakala suspek ketiga, lelaki berketurunan Melayu ditahan di hadapan sebuah restoran di Jalan Bagan Ajam serta polis merampas (51 g) syabu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua suspek yang tidak bekerja itu dan barang kes dibawa balik ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di Kepala Batas di sini bagi siasatan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati dadah yang dirampas adalah untuk dijual kepada penagih dadah di kawasan Butterworth dan Mak Mandin.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, morfin atau THC,” katanya lagi.
Menurutnya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE