SEBERANG PERAI – Dua lelaki yang bekerja sebagai operator kilang ditahan polis selepas didapati melakukan kegiatan pelesit rempit di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini awal pagi tadi.
Suspek masing-masing berusia 20 tahun tersebut ditahan selepas didapati berlumba sesama sendiri semasa operasi yang dijalankan selama kira-kira lapan jam berakhir pukul 8 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek ditahan selepas pihaknya mendapati mereka menunggang secara melulu dan merbahaya di sekitar BORR.
“Mereka didapati berlumba sesama sendiri dari Plaza Tol Bagan Ajam menghala ke tempat pusingan-U Terminal Kontena Butterworth Utara sambil melakukan aksi berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
“Pasukan operasi telah membuat pemantauan ke atas mereka dan tangkapan dibuat sebaik suspek berhenti berdekatan stesen minyak di arah Sungai Dua,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutam Jalan 1987. – K! ONLINE