LISBON – Bintang Bayern Munich, Thomas Muller bertekad memberikan prestasi terbaik bagi memastikan pasukannya dapat memenangi saingan Liga Juara-Juara musim ini.
Skuad The Bavarians bimbingan Hans-Dieter Flick itu dijadualkan bertemu jaguh Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) pada aksi final Liga Juara-Juara di Stadium Da Luz awal pagi esok.
Muller, 31, mendedahkan, barisan kejurulatihan Bayern telah mengatur strategi ampuh untuk memastikan impian mereka menjuarai trofi Liga Juara-Juara buat kali keenam tercapai, sekali gus bergelar juara trebel musim ini.
“Saya percaya jurulatih (Flick) mempunyai strategi tersendiri untuk memastikan misi pasukan menamatkan penantian trofi Liga Juara-Juara sejak 2013 dapat direalisasikan.
“Jika menang, individu paling layak untuk meraikan kejayaan itu ialah Flick kerana beliau sememangnya bekerja keras membantu mengubah nasib pasukan ini.
“Namun, masih terlalu awal untuk mengatakan peluang menjadi juara kerana kami akan menentang PSG yang dianggap sebagai salah satu pasukan terbaik di Eropah.
“Ini kerana, PSG mempunyai jentera serangan yang cukup berbahaya,” katanya.
Sementara itu, Flick, 55, mengakui semua pemain utama Bayern sudah cergas sepenuhnya termasuk dua tonggak pertahanan, Benjamin Pavard dan Jerome Boateng.
Sebagai rekod, Bayern pernah menjuarai Liga Juara-Juara sebanyak lima edisi dengan kali terakhir bergelar juara Eropah selepas menewaskan musuh tradisi, Borussia Dortmund pada final 2013. – AGENSI