Oleh AIMUNI TUAN LAH
GUA MUSANG – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menolak 70,000 permohonan daripada ibu tunggal yang memohon bantuan wang tunai di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).
Timbalan menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, permohonan untuk mendapatkan bantuan sekali gus (one off) sebanyak RM300 itu tidak dapat diluluskan selepas meneliti borang permohonan mereka yang tidak lengkap.
Katanya, pihak kementerian menerima sebanyak 95,000 borang permohonan yang dihantar secara dalam talian atau manual namun, hanya 25,000 permohonan diluluskan dan mendapati 70,000 borang lagi dihantar tidak lengkap selain tidak memenuhi syarat kelayakan.
“Oleh itu, permohonan bantuan Penjana yang pada awalnya terbuka kepada 150,000 ibu tunggal di seluruh negara gagal mencapai angka sasaran yang ditetapkan.
“Kemungkinan ramai yang tidak faham kaedah pengisian borang dan kita masih memberi peluang untuk ibu tunggal untuk memohon semula bantuan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Program Turun Padang Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Edisi Negeri Kelantan di Dewan Besar Ladang Sungai Terah di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim, ADUN Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff dan ADUN Paloh, Amran Arifin.
Menurut Siti Zailah, permohonan bantuan Penjana itu diumumkan kerajaan bagi perbelanjaan ibu tunggal bermula bulan Julai sehingga 31 Oktober depan.
Katanya, bantuan itu sedikit sebanyak membantu ibu tunggal yang berdepan tekanan akibat pandemik Covid-19.
“Bagi ibu tunggal yang ditolak permohonannya, diharap mereka tidak berputus asa dan boleh rujuk semula dengan Jabatan Pembangunan Wanita.
“Baiki kesilapan dalam borang permohonan dan lengkapkan dengan betul dokumen yang diperlukan termasuk sijil kelahiran anak, surat penceraian atau dokumen kematian suami,” katanya.
Tambah Siti Zailah, pihak kementerian juga mengharapkan kerjasama daripada ahli keluarga atau masyarakat setempat untuk membantu ibu tunggal yang layak dengan mengisi borang berkenaan.
Katanya, dibawah Penjana, sebanyak RM45 juta akan diagihkan kepada armalah atau ibu tunggal. – K! ONLINE