fbpx

Usia 105 tahun masih sihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SULANG masih mampu membaca akhbar walaupun usianya telah mencapai 105 tahun ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kabung Inas, Johol di Kuala Pilah semalam.

KUALA PILAH – “Saya tidak makan terlalu banyak dan elakkan makan malam, sebaliknya makan pada lewat petang.”

Itulah amalan pemakanan seorang wanita warga emas, Sulang Asan dari Kampung Kabung Inas, Johol di sini yang masih kelihatan sihat serta bertenaga biarpun usianya mencecah 105 tahun.

Sulang yang lahir pada tahun 1915 dan mempunyai 16 orang anak, 52 cucu, 72 cicit serta 13 piut mengamalkan diet sihat se­perti itu sejak usia muda.

Sulang berkata, dia juga selalu mengambil makanan serta minuman berasaskan sumber semula jadi seperti herba dan akar kayu.

“Tiada rahsia (kekal sihat), saya hanya mengamalkan makanan yang berasaskan akar kayu dan tidak mengambil sebarang makanan tambahan. Saya juga lebih gemar makan buah-buahan seperti anggur.

“Bagaimanapun, saya bukan jenis yang memilih makanan. Apa yang dimasak oleh anak-anak, saya akan jamah,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Sulang memberitahu, dia juga sangat mengikuti amalan turun-menurun dalam berpantang sejak melahirkan anak pertama sehingga anak ke-16.

Antara amalan berpantang yang sering dilakukan orang dahulu ialah tidak minum minuman berais dan memakai sarung kaki.

“Sejak saya melahirkan anak pertama, memang saya menjaga pantang, tidak ada langsung saya melanggar pantang larang.

“Alhamdullilah, sehingga kini saya turunkan ilmu itu kepada anak-anak, cucu dan cicit saya pula,” ujarnya.Ditanya mengenai sejarah hidupnya yang pernah melalui zaman pemerintahan Bri­tish, penjajahan Jepun dan juga zaman darurat ketika serangan komunis, Sulang menyifatkan kehidupan harian rakyat ketika itu amat sukar.

“Saya sudah melalui perjalanan kehidupan empat generasi, malah saya juga dapat merasai hidup ketika zaman negara dijajah dahulu.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 tidaklah sukar seperti zaman dahulu. Kalau dahulu nak cari beras dan makanan pun susah.

“Sekarang senang, banyak kedai boleh beli barang walaupun terdapat sekatan pergerakan. Makanan pun boleh hantar sampai rumah,” ujarnya.

Sementara itu, anak kelapan­nya, Saerah Duseh, 63, memberitahu, dia bersyukur apabila ibunya itu masih sihat dan boleh menguruskan diri sendiri.

Katanya, seawal pukul 5.30 pagi, ibunya sudah bangun untuk menunaikan solat Subuh dan berzikir.

“Ibu saya juga tidak ada pantang larang dalam pemakanan, semuanya dia makan cuma yang paling disukai adalah sate dan bihun,” ujarnya.

Saerah berkata, ibunya juga memberi petua kepada anak-anak untuk kekal sihat seperti minum air kosong sebelum mandi pagi, perbanyakan amalan bersedekah dan kerja-kerja amal serta sentiasa mengingati Allah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI