Oleh NOR AINNA HAMZAH
JEMPOL – Seorang warga emas maut dalam nahas dua buah kenderaan di kilometer 22, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu, mangsa, Muhammad Silong, 72, beralamat di Taman Desa Permai, Serting Tengah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik.
Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif, kemalangan berkenaan membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggani warga emas berkenaan dan juga kereta jenis Proton Iswara.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dari simpang arah Rumah Rakyat Serting Tengah hendak ke kedai yang terletak di seberang jalan. Apabila tiba di tempat kejadian mangsa yang keluar simpang hendak ke kedai di seberang jalan telah dilanggar sebuah kereta dari arah Batu Kikir menuju ke Simpang Pertang di bahagian kanan motosikal.
“Susulan pelanggaran berkenaan, penunggang motosikal jatuh di bahu jalan sebelah kanan. Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, tadi.
Khairiel berkata, pemandu kereta iaitu lelaki warganegara Indonesia yang berusia lewat 30an bekerja kilang tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Menurutnya, mayat mangsa di bawa ke Hospital Jempol bagi proses bedah siasat.
“Kes ini disiasat di bawah Sek 41(1) APJ 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – K! ONLINE