KLANG – Taktik sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan bot nelayan tumpas dalam serbuan Ops Benteng di Perairan Sekinchan di sini Rabu lalu.
Serbuan bermula pukul 12 tengah malam itu menahan 28 PATI termasuk tujuh daripadanya bertindak sebagai tekong laut yang kesemuanya terdiri warga Indonesia dan Myanmar berusia 20 hingga 50-an.
Turut dirampas adalah tujuh buah bot nelayan tempatan bernilai RM4.2 juta dalam operasi disertai 73 anggota termasuk pegawai melibatkan Bridged Tengah PGA, Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pelabuhan Klang dan Jabatan Siasatan Jenayah D3 Bukit Aman.
Komander PGA Bridged Tengah, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, kejayaan itu hasil maklumat risikan dilakukan pihaknya susulan penahanan 51 PATI sebelum ini di sekitar kawasan Sekinchan, Sabak Bernam.
Katanya, siasatan mendapati modus operandi sindiket ini yang menggunakan bot nelayan di kawasan Jeti Bagan Sekinchan bergerak ke perairan sempadan antarabangsa sebelum membawa sejumlah PATI.
“Tekong laut tersebut akan mendapat bayaran di antara RM800 hingga RM1,000 bagi seorang PATI.
“Mereka yang dibawa itu akan menyamar sebagai awak-awak dengan mengikuti penangkapan ikan selama lapan jam sebelum didaratkan di Jeti Sekinchan atau jeti-jeti haram lain,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kata beliau, sindiket tersebut didapati menukar taktik daripada bot pancung kepada bot nelayan berikutan dapat menyeludup lebih ramai PATI selain pemeriksaan yang ketat terhadap bot pancung sebelum ini.
Ujar Muhammad, bot-bot nelayan daripada kelas B dan C itu juga beroperasi di Perairan Selat Melaka seterusnya memudahkan proses menyelinap masuk PATI ke sepanjang perairan Selangor.
“Berdasarkan pemeriksaan, lima juragan warga Indonesia dan dua warga Myanmar yang bertindak sebagai tekong itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah telah digaji oleh pemilik bot itu.
“Justeru, siasatan sedang dilakukan dalam mengesan kesemua pemilik bot tempatan yang berdaftar itu,” katanya.
Jelas beliau, kesemua PATI dan bot yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Sabak Bernam untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007,” katanya. -K!ONLINE