KUALA LUMPUR – Tidak sampai tempoh setahun berumah tangga, pelakon dan pengacara Ain Edruce mengakui sering diasak persoalan mengenai cahaya mata oleh keluarga terdekat.
Pemilik nama Nurulain Edrucce, 29, itu berkata, dia dan suaminya yang merupakan seorang ahli perniagaan, Amirul Hafiz Mustaffa, 27, bagaimana tidak pernah berasa tertekan setiap kali diajukan dengan soalan cepumas tersebut.
“Pada awalnya saya terfikir juga, memang normal ke orang baru kahwin terus ditanya pasal anak, sebab boleh tertekan juga kalau soalan sama ditanya berulang kali.
“Tetapi jawapan saya mudah. Saya jawab, insya-Allah dan minta mereka doakan agar rezeki untuk menimang cahaya mata termakbul,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Immortal Songs baru-baru ini.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2020/08/ain-2.jpg)
Pelakon sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK) itu memberitahu, dia juga tidak pernah menetap sebarang tempoh untuk menimang cahaya mata dan sentiasa bersedia untuk mendapat zuriat pada bila-bila masa.
“Saya dan suami tak buat perancangan pun bila ingin timang cahaya mata tetapi kalau ada rezeki dalam masa terdekat, kami terima.
“Malah, sekarang pun saya aktif dengan perlumbaan kereta bersama Toyota GAZOO Racing, jadi risau juga kalau disahkan mengandung, takut akan membahayakan bayi dalam kandungan pula,” ujarnya.
Terdahulu, Ain selamat bergelar isteri kepada Amirul pada 13 Disember tahun lalu selepas enam bulan bertunang. – K! ONLINE