SEBERANG PERAI – Kira-kira 1,000 penduduk beberapa buah kampung di Tasek Gelugor di sini mengakui hampir berputus asa untuk menjalani kehidupan selesa apabila isu pencemaran najis babi di beberapa batang sungai tidak pernah selesai sejak 40 tahun lalu.
Antara sungai yang didakwa mengalami masalah pencemaran yang serius termasuklah Sungai Kereh, Sungai Korok, Sungai Kreh Mati, Sungai Kecil Pokok Machang, Sungai Lubuk Meriam dan Sungai Lubuk Meriam Dalam.
Turut terjejas adalah tali air di Kampung Selamat dan Parit Malakof yang terletak dalam radius kira-kira 13 kilometer dari ladang penternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor.
Dakwa penduduk, sungai terbabit yang berwarna kehitaman dan berbau busuk adalah akibat pencemaran daripada sisa buangan ladang ternakan itu.
Tinjauan Kosmo! di Sungai Kereh, Kampung Tok Bedu baru-baru ini mendapati, sungai itu bersambung dengan sebatang tali air yang menyalurkan air kotor dari kawasan Kampung Selamat.
Seorang penduduk, Mohammad Awang, 58, berkata, mereka yang tinggal berdekatan sungai itu sudah hampir hilang kata-kata untuk meluahkan penderitaan yang dialami.
“Bayangkan situasi ini kami alami setiap hari tanpa henti pada sepanjang tahun sejak sekian lama.
“Situasi itu menjadi lebih buruk ketika waktu malam apabila cuaca tidak berangin. Baunya sangat busuk sehingga sukar untuk melelapkan mata pada setiap hari,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Katanya, di dalam tali air itu kelihatan cecair berwarna hitam dan pekat mengalir terus ke dalam Sungai Kereh.
“Situasi ini mengakibatkan sungai berkenaan bertukar menjadi hitam. Bau busuk begitu meloyakan seolah-olah berada di tapak pelupusan sampah.
“Sisa buangan yang kelihatan seperti kerak tebal dilihat terapung pada permukaan sungai yang mengalir perlahan ketika air surut,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Zamri Ramli, 55, berkata, sungai di kampung terbabit dikatakan antara paling bersih di negeri ini sebelum adanya ladang penternakan babi yang didakwa dibuka sekitar tahun 1980-an.
“Sehingga tempoh awal-awal 1980-an dulu penduduk masih boleh bermandi-manda di dalam sungai sebelum kualiti air menjadi semakin teruk sekitar awal 1990-an.
“Sungai ini memang menjadi lubuk udang galah dan bermacam ikan darat.
“Penduduk mula menyedari berlaku pencemaran selepas melihat udang-udang begitu mudah ditangkap kerana ‘mabuk’. Selepas itu situasi menjadi semakin buruk, sehinggalah sekarang tiada lagi udang galah,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Mohammad Sulaiman, 60, berkata, beberapa wakil rakyat telah turun ke lokasi terbabit untuk mendengar rintihan mereka sebelum ini, namun mendakwa seolah-olah sekadar ‘melepaskan batok di tangga’.
“Pelbagai janji untuk menyelesaikan masalah ini telah ditabur sejak sekian lama, namun tiada apa-apa penyelesaian hingga kini. Bahkan keadaan pencemaran semakin memburuk.
“Bukan sahaja penduduk yang terjejas kerana bau busuk, petani yang menanam padi di kawasan sekitar turut menerima tempiasnya kerana air kotor yang masuk ke kawasan tanaman mereka,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Mohd. Sabri Osman, 61, berkata, dia mencadangkan kerajaan membina loji rawatan di kawasan yang jauh dari kampung sebelum menyalurkan air yang telah dirawat ke dalam tali air dan sungai sekiranya pihak berkuasa tiada cadangan lain.
Sementara itu, usaha Kosmo! mendekati ladang penternakan babi seperti yang didakwa penduduk tidak berjaya berikutan ia berada dalam kawasan persendirian di sekitar Kampung Selamat, Tasek Gelugor.
Lokasi penternakan babi terbabit dianggarkan terletak dua hingga empat kilometer dari kawasan Kampung Tok Bedu.
Saluran tali air yang bersambung dengan Sungai Kereh dipercayai menjadi sebab utama pencemaran berkenaan.
Difahamkan selain anggaran terdapat kira-kira 70 ladang penternakan babi di kawasan terbabit, turut beroperasi ialah beberapa kilang perindustrian dan perusahaan ladang kelapa sawit.