KUALA LUMPUR – Polis memburu pemilik kereta jenis Toyota Vios yang memandu melawan arus di laluan motosikal di Lebuh Raya Persekutuan berhampiran Angkasapuri di sini baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 4 petang menyebabkan penunggang motosikal berkuasa tinggi terbabas melanggar tembok kiri di lorong motosikal akibat mengelak kereta terbabit.
“Rakaman menunjukkan pemandu kereta terbabit secara tiba tiba keluar dari terowong dan menyebabkan mangsa berusia 29 tahun itu hilang kawalan.
“Mangsa mengalami kecderaan ringan di bahagian lutut kiri susualan daripada kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zulkefly, polis kini dalam usaha menjejaki suspek.
“Kereta tersebut didaftarkan yang beralamat di Sarawak, saya memohon pemandu atau pemilik untuk datang menyerah diri ke balai polis trafik yang berdekatan.
“Orang ramai juga boleh memberi maklumat kepada pengawai penyiasat Sarjan Shamsul Kamal atau Asisten Superintendan Khairul Naim di talian 03-20719999,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Baru-baru ini, tular video berdurasi 39 saat, memaparkan seorang penunggang motosikal cuba mengelak sebuah kereta yang memandu melawan arus di laluan motosikal di Lebuh Raya Persekutuan berhampiran Angkasapuri.
Susulan kejadian tersebut penunggang motor terbabit merempuh tembok sebelah kiri di laluan motor berkenaan. – K! ONLINE