DEBARAN saingan Liga Malaysia (Liga M) mula terasa dengan aksi sepak mula dijadualkan berlangsung hari ini setelah terhenti lima bulan susulan penularan pandemik Covid-19 awal tahun ini.
Meskipun format liga sedikit terencat susulan badan penganjur, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memutuskan baki saingan Liga Super dan Liga Premier dilangsungkan secara sepusingan (round-robin), namun kehangatan masih tetap dirasai peminat bola sepak tempatan.
Bagi Liga Super, saingan dilihat agak sengit melibatkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Perak dengan kedua-dua pasukan masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi empat perlawanan.
Mampukah The Bos Gaurus memecah dominasi JDT yang sudah bergelar juara Liga Super enam kali berturut-turut sejak musim 2014 atau mungkin pasukan lain seperti Selangor, Terengganu FC (TFC I) atau Pahang turut memburu sama kejuaraan.
Di atas kertas, sukar untuk menandingi JDT yang dilihat sempurna di semua posisi dan ramai pemain berstatus bintang.
Namun, tiada yang mustahil dalam bola sepak apabila 21 mata maksimum ditawarkan, apa sahaja boleh berlaku sepanjang tujuh baki perlawanan nanti.
Bagi mengelakkan relegasi ke Liga Premier tahun depan, dua pasukan yang dipotong mata iaitu Melaka United dan PDRM perlu bangkit melakukan sesuatu.
Dua slot penyingkiran masih dikekalkan dan kedua-dua pasukan ini berpotensi untuk diturunkan pangkat sekiranya gagal beraksi dengan konsisten.
Saingan Liga Premier pula dilihat menarik sebab kehadiran empat pasukan feeder pada musim ini menyaksikan saingan bergelar juara dan naib juara bakal direbut lapan pasukan.
Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dilihat memiliki kekuatan untuk mengekalkan rekod tanpa kalah tetapi kekuatan pendatang baharu, Kelantan United tidak boleh dipandang enteng.
Skuad kendalian Zahasmi Ismail itu berpotensi meraih tiket ke saingan Liga Super musim depan berbanding pasukan ‘abang’, Kelantan yang hanya meraih satu mata selepas turut dihukum pemotongan mata bulan lalu.