Oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN
SEBERANG PERAI – Kadar pematuhan orang awam mencapai 99.34 peratus sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.
Sehingga kini, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah menjalankan pemantauan ke atas 471,226 premis merangkumi pasar awam, kompleks makanan dan premis perniagaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, pemantauan pemakaian pelitup muka di 12 pasar awam turut dijalankan pasukan penguatkuasa Covid-19 MBSP.
“Pematuhan pemakaian pelitup muka oleh pengunjung dan peniaga di semua lokasi pasar awam terbabit mencapai 100 peratus.
“Pencapaian ini membuktikan semua pihak memberikan kerjasama terbaik bagi memastikan penularan Covid-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini dapat dikekang.
“Kita akan terus melaksanakan pemantauan di lokasi berisiko tinggi supaya masing-masing dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan jika ada yang ingkar, tindakan akan diambil,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas memantau kerja disinfeksi di Blok A, Flat Tuna yang dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). – K! ONLINE