Oleh NUR SYAZWANA MANSOR
SUNGAI PETANI – Seorang pelayan kedai makan maut selepas motosikal ditunggangi dilanggar motosikal lain dalam kejadian di Kilometer 70 Jalan Alor Setar – Butterworth, Tikam Batu dekat sini hari ini.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 9.15 pagi itu, lelaki berusia 26 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman pada dada dan kepala.
Seorang lagi penunggang motosikal berusia 38 tahun yang merupakan pembantu kedai runcit hanya cedera ringan pada tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah memberitahu, kejadian berlaku apabila dua lelaki yang masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dan Honda Wave dalam perjalanan dari Tikam Batu menghala Butterworth, Pulau Pinang.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila penunggang Honda Wave memperlahankan motosikalnya untuk membelok ke kanan menuju kedai runcit tempat dia bekerja.
“Penunggang motosikal Yamaha 135LC tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang motosikal Honda Wave tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, akibat perlanggaran itu, dua lelaki terbabit terjatuh ke atas jalan raya dengan mangsa yang menunggang Yamaha 135LC maut di tempat kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE