fbpx

MotoGP: KTM lakar sejarah tempah petak depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ESPARGARO melakukan kejutan apabila menempah petak hadapan buat kali pertama dalam sejarah pasukan KTM dan dirinya sendiri pada GP Styria malam tadi. - AFP

PASUKAN Red Bull KTM terus mempamerkan taring sebenar mereka pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini apabila pelumba utama mereka, Pol Espargaro menyambar petak depan dalam saingan Grand Prix (GP) Styria malam tadi.

Pasukan KTM seakan-akan menerima tonik terbaik ketika beraksi di laman sendiri selepas Espargaro mencatat masa terpantas 1 minit 23.580 saat (s) sekali gus memulakan perlumbaan di barisan hadapan di Litar Red Bull Ring esok. 

Lebih manis, ia merupakan kejayaan pertama pasukan KTM menempah petak pertama sejak pasukan pengeluar yang berpangkalan di Austria itu menyertai saingan MotoGP pada tahun 2017.

“Saya melakukan kesilapan yang banyak pada sesi latihan bebas ketiga (FP3) dan sesi kelayakan saya perbaiki kesilapan tersebut. 

“Saya jangka mampu mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan dan berharap dapat bermula di barisan kedua, namun menempah petak hadapan sesuatu yang mengejutkan. Saya sangat gembira kerana pasukan bekerja keras sepanjang minggu ini dan terima kasih kepada mereka. Saya harap mampu lakukan sebaik pada perlumbaan esok,” katanya.

Pasukan Red Bull KTM melakukan kejutan musim ini apabila meraih kemenangan pertama dalam perlumbaan GP Republik Czech pada 9 Ogos lalu menerusi Brad Binder. 

Pelumba Jepun, Takaaki Nakagami ( LCR Honda Idemitsu) turut melakukan kejutan apabila menempah petak kedua apabila mencatat masa terpantas dengan catatan 1 minit 23.602s.

Pelumba Reale Avintia Racing, Johann Zarco tampil cemerlang apabila meraih kedudukan ketiga  terpantas selepas merekodkan masa terpantas 1 minit 23.632s, namun malangnya pelumba Perancis itu akan memulakan perlumbaan di hentian pit. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI