BMW pada awal tahun 1990-an pernah mencipta satu prototaip kereta yang mampu memegang status kereta pengeluaran paling laju di dunia. Kereta itu tiada masalah untuk memintas kelajuan model gah seperti Porsche 959, Lamborghini Diablo atau Ferrari F40.
Malangnya, kereta coupe itu kekal sekadar satu prototaip dan BMW dikatakan sanggup menafikannya wujud dan telah menyimpannya selama 20 tahun! Prototaip dimaksudkan itu ialah BMW M8 yang dibangunkan daripada model 8 Series (E31).
Ada beberapa laporan asing mendakwa, model prototaip M8 yang sudah siap dibina itu pernah dibentangkan kepada lembaga pengarah BMW pada zaman tersebut, namun mereka enggan memberi lampu hijau untuk kereta coupe itu dihasilkan secara komersial.
Antara faktor penghalangnya dikaitkan dengan soal untung rugi. M8 perlu meraih pulangan setimpal dengan volum jualan tertentu yang disasarkan. Keadaan bertambah sukar kerana tanda harga M8 pastinya jauh lebih mahal berbanding pesaing terdekatnya. Silap hari bulan, BMW membuat pelaburan signifikan, tetapi meraih kerugian besar ketika ekonomi dunia suram.
Terdapat juga teori kewujudan satu perjanjian membabitkan BMW, Mercedes-Benz dan Audi yang sama-sama bersepakat untuk membataskan kelajuan maksimum kereta keluaran mereka kepada 250 kilometer sejam (kmj). Ini juga dikatakan satu sebab projek M8 dibatalkan.
Prototaip M8 pernah dilaporkan mampu mencapai kelajuan sepantas 300 kmj dalam tempoh singkat semasa sesi ujian di litar Nardo, Itali. Jika pencapaian ini benar, M8 sudah melangggar perjanjian pakatan tiga pengeluar kenderaan dari Jerman itu.
Misteri M8 terungkai pada bulan Julai 2010 apabila gergasi pengeluar automotif itu berubah fikiran dan menjemput segelintir media terpilih untuk menyaksikan prototaip itu yang disimpan di Muzium BMW di Jerman.
Selepas dua tahun, prototaip BMW M8 dibawa ke Pameran Autobhan di Carmel, California, Amerika Syarikat untuk tontonan umum.
Sekadar perkongsian, BMW sebenarnya telah menghasilkan model standard 8 Series berbentuk coupe untuk segmen premium mewah berprestasi bermula tahun 1984. Lima tahun kemudian,
BMW 8 Series dipertontonkan pada Pameran Motor Frankfurt, Jerman.
BMW 8 (850i) menggunakan enjin V12 aspirasi biasa berkapasiti lima liter. Enjin itu menggunakan aci sesondol tunggal dengan dua injap setiap silinder mampu menjana 296bhp.
Prototaip BMW M8 pula menggunakan enjin konfigurasi sama. Cuma, kepala silinder dipasang dua aci sesondol (DOHC) dengan empat injap bagi setiap silinder. Kapasiti enjin adalah lebih besar iaitu 6.1 liter dengan output kuasa maksimum 550bhp.
Kedua-dua BMW 8 Series dan M8 menggunakan sistem transmisi sama iaitu kotak gear lapan kelajuan tetapi model dengan lencana M itu dilengkapi set brek baharu, talaan kerangka selain berbahan binaan ringan untuk mengurangkan berat kenderaan.
Generasi pertama BMW 8 Series bermula pada tahun 1989 hingga 1999. Sepanjang tempoh sedekad itu, BMW hanya mampu menjual sebanyak 30,621 buah kereta. Pencapaian itu dilihat tidak begitu memberangsangkan dan keputusan menamatkan pengeluaran terpaksa diambil.
Selepas 20 tahun ditarik keluar dari pasaran global, BMW mencapai kata sepakat untuk mewujudkan semula 8 Series termasuk varian berprestasi, M8.
Pengenalan semula itu dibuat selepas BMW menamatkan tawaran model coupe dalam BMW 6 Series. BMW cuma dilihat mahu satu produk yang lebih gah untuk mendepani saingan Lexus dan Mercedes-Benz.
Pada Jun 2019, BMW muncul dengan varian premium lebih berkuasa, M8 dengan tiga pilihan bentuk badan iaitu coupe dua pintu, convertible dua pintu dan gran coupe (kereta empat pintu). Ini adalah keluarga M8 generasi pertama.
BMW M8 akan memasuki kelas saingan yang dianggotai oleh antaranya Porsche Panamera Turbo, Mercedes-AMG GT63 S dan Audi RS 7.
Malaysia sambut varian M8
BMW Group Malaysia (BMW Malaysia) pada Jumaat lalu memperkenalkan dua varian siri M8 ke pasaran domestik, membabitkan Coupe (F92 ) dan M8 Gran Coupe (F93). Pelancaran itu dibuat bersama dua lagi anggota baharu keluarga M iaitu X3 M (F97) dan X4 M (F98).
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl menyifatkan abjad M ialah huruf paling unggul di dunia kerana melambangkan jentera-jentera berprestasi tinggi yang lahir di litar sukan lumba sejak tahun 1972.
“Segmen sport berprestasi tinggi dunia bersandar kepada tanda aras yang ditetapkan oleh kenderaan BMW M. Pengenalan dua jentera baharu ini menyaksikan tanda aras yang dipahat lebih tinggi,” katanya.
Tidak dinafikan, ada banyak teknologi baharu dan komponen kenderaan termasuk bendalir enjin daripada dunia sukan lumba di litar dimanfaatkan kelebihannya ke dalam kereta keluaran kilang dalam skala besar-besaran.
Secara ringkas, BMW M8 Coupe dan Gran Coupe ialah kereta untuk orang kaya yang ingin menikmati teknologi dan inovasi termaju, berasa lebih selesa dalam kereta dan diselubungi rasa mewah selain daya pecutan kereta luar biasa. Dalam bahasa lebih mudah, anda beli gaya hidup dan kepuasan melalui sebuah kereta.
Harga BMW M8 Coupe ialah RM1,452,960 manakala M8 Gran Coupe pula ditandakan harga RM1,455,145. Ini adalah tag harga atas jalan, belum termasuk bayaran insurans.
Jika ambil pelan khidmat pembiayaan BMW, bayaran bulanan cuma antara RM16,578 dan RM16,598. Ini tertakluk kepada jumlah dan tahun pembiayaan.
Soal prestasi M8 terbukti mengagumkan. Varian M8 menggunakan enjin V8 berkapasiti 4.4 liter dengan pengecas turbo berkembar untuk membantu mengekstrak kuasa maksimum 600hp dengan tork puncak sekuat 750Nm. Rangkaian kuasa ini mirip nadi penggerak BMW M5.
Kuasa pergerakan ke rodanya dengan bantuan kotak gear lapan kelajuan automatik dan sistem pacuan semua roda M xDrive. Kedua-dua model M8 dilengkapi ciri Active M Differential.
Ada tiga pilihan hantaran kuasanya iaitu 4WD dan 4WD Sport yang menghantar lebih banyak kuasa tarikan ke roda belakang, selain 2WD yang hanya beroperasi selepas fungsi kawalan kestabilan dimatikan dan kuasa enjin akan disalurkan ke roda belakang.
Sekali pandang, bahasa tubuh M8 amat jelas. Agresif. Ini dapat dilihat pada keluk binaan badan dari bampar depan hingga spoiler bonet belakang. Bumbung keretanya pula diperbuat daripada material ringan gentian karbon plastik diperkukuh (CFRP).
Ruang kabinnya menyajikan rasa mewah dengan balutan material kulit berkualiti penuh pada kerusi, papan pemuka dan trim panel pintu. Satu skrin digital sebesar 12.3 inci pada papan pemuka memaparkan pelbagai maklumat semasa serta tetapan pemandu.
Kereta ini didatangkan dalam tujuh warna antaranya kelabu brands hatch, kelabu donington dan biru Barcelona.
Di AS, pengedar sudah mengeluh kerana lebih 2,000 unit 8 Series dan M8 mengumpul habuk di bilik pameran sehingga Mac lalu.
Persoalan sekarang ialah sejauh mana model 8 Series dan M8 ini mampu kekal dalam barisan produk BMW. Mungkin kesan ini hanya sementara disebabkan pandemik Covid-19 atau sejarah lampau 8 Series berulang?