PUTRAJAYA – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kesalahan gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari Turki, 7 Julai lalu.
Beliau berkata, dia akan bertanggungjawab dengan memulangkan semua gaji sebagai Menteri bagi bulan Mei hingga Ogos lalu sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurutnya, gaji Mac dan April lalu juga telah disumbangkan sebelum ini ke tabung tersebut seperti keputusan Kabinet sebelum ini.
“Berhubung isu SOP ini, saya memohon jutaan kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia atas kekhilafan yang berlaku.
“Sebagai Menteri, saya bertanggungjawab untuk akur kepada peraturan dan SOP sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Khairuddin berkata, dia juga akan terus bekerja keras dan melipatgandakan segala usaha dan tenaga untuk melaksanakan tugasan amanah sebagai Menteri.
Terdahulu, KKM dalam satu kenyataan berkata, Mohd. Khairuddin
telah melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 [Akta342].
Ekoran kegagalannya mematuhi peraturan mengikut akta berkenaan, beliau dikenakan kompaun RM1,000 pada 7 Ogos lalu dan telah melunaskan bayaran itu.
KKM berkata, Mohd. Khairuddin pulang ke negara ini dari Turki pada 7 Julai lalu sebelum menjalani ujian pengambilan sampel ‘nasopharyngeal swab’ kali pertama pada hari yang sama yang didapati negatif.
“Ujian saringan Covid-19 kali kedua dan ketiga juga menunjukkan keputusan negatif,” kata KKM tanpa menyatakan tarikh bila ujian kedua dan ketiga itu dijalankan terhadap menteri berkenaan.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, ketika sesi persidangan Dewan Rakyat mempertikaikan mengenai tidakpatuhan arahan kuarantin wajib oleh Mohd. Khairuddin.
Berikutan itu, Mohd. Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat PAS dikritik banyak pihak kerana mengingkari arahan kuarantin wajib seperti diarahkan pihak berkuasa. -K! ONLINE