BAGAN SERAI – Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan sesuatu perbuatan dengan tujuan mengeksploitasi bahasa untuk provokasi perkauman.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka sekiranya perbuatan tersebut jelas melanggar undang-undang negara.
“Kita kena faham bahawa setiap tindakan yang akan dilakukan mestilah mengikut perlembagaan negara lebih-lebih lagi sekarang kita sedang berada dalam bulan kemerdekaan untuk menyambut Hari Merdeka kali ke-63.
“Jangan melakukan sesuatu perkara mengikut perasaan hati untuk mengangkat mana-mana kumpulan. Negara ini masih berdaulat dan kita ambil balik dari penjajah untuk kepentingan bersama, bukan untuk kepentingan mana-mana kaum,” katanya selepas merasmikan Persidangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Larut di Bukit Merah Lake Town Resort di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sekumpulan ahli Pemuda DAP yang menampal pelekat tulisan Cina di tiga papan tanda jalan di Kuching seperti tular di dalam media sosial sejak semalam.
Tambah Hamzah, polisi kerajaan sekarang bukan untuk mengangkat mana-mana kumpulan tapi semua kaum termasuk kaum minoriti di negara ini.
“Sebagai contoh, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan orang Melayu, namun beliau tidak hanya memperjuangkan nasib orang Melayu sahaja, bahkan nasib semua kaum di dalam negara ini.
“Jadi, kita akan ambil tindakan terhadap mana-mana pihak sekiranya mereka melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang negara,” katanya.
Katanya, tidak perlulah mana-mana pihak berani untuk melakukan sesuatu yang boleh mencetuskan perbalahan antara kaum.
Sementara itu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu telah mengarahkan semua ahli parti agar memberikan sokongan 100 peratus kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Zaidi Aziz sekali gus mengajak para pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim keluar mengundi calon tersebut pada 29 Ogos depan. – K! ONLINE