fbpx

K2

Isteri akui dihamilkan orang usai akad nikah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZARA hanya memaklumkan dirinya sudah hamil hasil perbuatan lelaki lain setelah sah bergelar isteri kepada Amir. – GAMBAR HIASAN

SESAL dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Itu yang dihadapi oleh Amir (bukan nama sebenar), 27, apabila perkahwinan yang diharapkan mampu membahagiakan dirinya berlaku sebaliknya.

Biarpun bakal dikurniakan cahaya mata tidak lama lagi, namun, dia langsung tidak gembira. Sebaliknya, lelaki yang bekerja sebagai seorang pegawai komunikasi korporat ini akui hatinya pedih bagai disiat-siat.

Lebih-lebih lagi setiap kali melihat kelibat isterinya di rumah.

“Sebelum mendirikan rumah tangga lagi ibu sudah berkali-kali berpesan agar selidik dahulu siapa gadis yang ingin dikahwini itu.

“Bagaimanapun, benar kata orang tua, cinta itu buta. Jika hati sudah sayang, semuanya nampak indah belaka,” jelasnya yang baru mendirikan rumah tangga awal tahun ini.

Menceritakan lanjut mengenai kemelut yang berlaku di dalam rumah tangganya itu lagi, menurut lelaki yang berasal dari utara tanah air ini, dia tidak menyangka wanita yang dikahwininya itu sebenarnya sudah ditebuk tupai.

Mana tidaknya, perwatakannya yang sopan dan lemah lembut menyebabkan dia tertipu serta menyangka isterinya merupakan seorang yang pandai menjaga maruah diri.

Lebih-lebih lagi apabila sepanjang tiga tahun perkenalan, dia langsung tidak pernah mengambil kesempatan terhadap Zara (bukan nama sebenar), 25, apatah lagi berkelakuan sumbang.

Bagaimanapun siapa sangka, petang selepas mereka selamat dinikahkan, Zara mengakui sudah hamil lima minggu.

“Bukan sahaja ditebuk tupai, dia juga hamil hasil maksiat yang dilakukan bersama abang angkatnya.

 

AMIR menyesal kerana tidak benar-benar menyelidiki keperibadian Zara.
– GAMBAR HIASAN

 

“Dia mengaku mudah cair dengan keperibadian lelaki yang begitu mengambil berat akan dirinya. Tetapi dalam masa yang sama, dia mengakui begitu menyayangi saya dan mahu meneruskan perkahwinan ini.

“Saya benar-benar kecewa. Ternyata tempoh perkenalan selama dua tahun belum membolehkan saya benar-benar mengenalinya,” ujarnya.

Menurut Amir lagi, tatkala pasangan pengantin baharu yang lain sibuk berbulan madu, Amir pula mengambil keputusan untuk menghilangkan diri selama seminggu.

“Sebaik sahaja selesai majlis resepsi di kedua-dua belah rumah, kami mula berpindah ke rumah yang disewa.

“Kekok rasanya apabila tinggal berdua. Biarpun dia isteri saya yang sah, namun saya tidak dapat terima perbuatannya itu.

“Disebabkan terlalu kecewa, saya mengambil keputusan untuk menghilangkan diri dan menginap di sebuah hotel di sebuah pulau yang terletak di Pantai Timur.

“Sepatutnya hotel ini ditempah untuk percutian bulan madu buat kami berdua. Tetapi apabila sudah jadi begini, lebih baik saya pergi seorang diri untuk tenangkan fikiran,” katanya.

Ceritanya lagi, dia pernah cuba bersemuka dengan abang angkat isterinya. Bagaimanapun apa yang memeranjatkan Amir ialah lelaki tersebut tidak mengaku anak di dalam kandungan isterinya itu adalah anaknya.

Malah, Amir pula dituduh berkelakuan sumbang dengan Zara sebelum mereka sah bergelar suami isteri.

Kemelut yang melanda rumah tangga Amir dan Zara seakan dapat dihidu oleh ibunya.

Bagaimanapun, bagi mengelakkan perkara menjadi lebih serius, Amir hanya mampu menidakkan setiap persoalan yang keluar daripada mulut ibunya.

“Kehidupan kami berdua sangat hambar. Zara sedaya upaya cuba mengambil perhatian saya dengan membuat macam-macam perkara. Tetapi, saya tetap tidak boleh kerana rasa tertipu.

“Lebih menyakitkan apabila saya juga terpaksa membantunya yang mengalami alahan teruk di awal kehamilan. Kalau ikutkan rasa, mahu sahaja saya tunjal-tunjal kepalanya,” jelasnya.

Menurut Amir lagi, dia telahpun memfailkan perceraiannya di sebuah mahkamah di utara tanah air beberapa bulan lalu.

“Sekarang kami dalam proses perceraian biarpun isteri seperti mahu meneruskan perkahwinan. Saya mahu menceraikannya mengikut prosedur undang-undang yang betul iaitu melafazkan talak di mahkamah.

“Saya nekad untuk bercerai. Biarlah apa orang nak kata. Bukan mereka yang menanggung semuanya,” ujarnya.

Tambah Amir, kalau mahu dikira kerugian kos perkahwinan yang ditanggung awal tahun ini, dirinya enggan berpisah, tetapi disebabkan maruah dia terpaksa melakukannya.

“Pesan saya buat semua di luar sana, kenali pasangan masing-masing sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga bagi mengelakkan perkara seperti ini terjadi,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI