TIDAK pernah kenal erti putus asa, itulah gambaran yang boleh dijelaskan buat pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang cuba menyembunyikan kesakitan demi melengkapkan hasrat untuk berlumba pada Grand Prix (GP) Styria esok.
Hasrat pelumba Aspar itu kembali di Litar Red Bull Ring bagaimanapun dihalang oleh pasukan doktor perubatan apabila mengesahkan pelumba Moto2 negara itu tidak cergas 100 peratus.
Hafizh masih mengalami kesakitan pada kedua-dua belah kakinya selepas terbabit dalam kemalangan ngeri semasa perlumbaan GP Austria selepas gagal mengelak jentera pelumba Italtrans, Enea Bastianini yang terjatuh di atas litar.
“Saya dikhabarkan tidak boleh beraksi pada perlumbaan minggu ini kerana ketika sesi ujian, saya cuba untuk tahan sakit namun ia tidak membantu. Keadaan lebih sakit apabila saya cuba menunggang jentera pada sesi latihan.
“Memang niat saya untuk menguji jentera pada Jumaat (semalam) kerana saya mahu tahu keadaan saya di atas jentera. Doktor memberitahu supaya saya perlu berehat kerana keadaan belum mengizinkan.
“Saya akan buat terbaik dan akan buat kemunculan pada perlumbaan seterusnya nanti. Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak memberikan sokongan dan berdoa supaya saya cepat sembuh,” katanya.
Hafizh berdepan kemalangan ngeri pada pusingan keempat GP Austria minggu lalu selepas merempuh jentera Bastianini yang berada di tengah litar selepas dia terjatuh.
Akibat rempuhan tersebut, Hafizh tercampak dan jenteranya berkecai, namun pelumba berusia 26 tahun itu bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan serius mahupun patah tulang.