SPIELBERG – Nasib pelumba Itali, Andrea Dovizioso untuk meneruskan perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) tahun depan dilihat masih samar selepas membuat keputusan meninggalkan pasukan Ducati apabila berakhirnya saingan musim ini.
Spekulasi kini bertiup kencang mengatakan Dovizioso, 34, akan tetap beraksi dalam kelas utama bersama pasukan Red Bull KTM Tech3 musim depan walaupun ia dilihat sedikit mustahil.
Prinsipal KTM Tech3, Herve Poncharal menegaskan, mustahil untuk membawa masuk muka baharu kerana kesemua slot pelumba telah diisi dengan kontrak sehingga musim depan.
“Bagi saya mustahil KTM akan membuat keputusan dengan membatalkan kontrak salah seorang pelumba. Tiada keperluan untuk KTM bertindak sedemikian semata-mata untuk membawa masuk Dovizioso seorang pada musim depan,” kata Poncharal.
“Satu langkah yang luar biasa jika dapat bekerja dengan Dovizioso tetapi barisan pelumba 2021 sudah diisi. Jadi saya merasakan ia sesuatu yang sukar buat pelumba Itali itu bersama kami musim depan,” ujar Poncharal.
Dovizioso memilih untuk meninggalkan pasukan Ducati apabila enggan menyambung kontrak musim depan selepas menyertai pasukan pengeluar itu pada 2013.
Difahamkan, Dovizioso berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan terma gaji ditawarkan pasukan berpangkalan di Itali itu yang dikatakan sedang berdepan krisis kewangan disebabkan Covid-19. – AGENSI