BERLIN – Sebuah universiti tempatan menawarkan biasiswa sebanyak AS$1,900 (RM7,936) kepada warga Jerman yang tidak melakukan sebarang aktiviti bagi tujuan penyelidikan, lapor sebuah portal berita.
Penyelidik Universiti Seni Halus Hamburg, Friedrich Von Borries berkata, tawaran itu merupakan sebahagian daripada kajian untuk pameran mengenai kelestarian yang dijadualkan pada November ini.
“Bukan mudah untuk tidak melakukan apa-apa aktiviti kerana kita ingin mencari seseorang yang mampu tidak melakukan sesuatu perkara secara konsisten, contohnya tidak bergerak atau tidur selama seminggu sekiranya ada.
“Biasiswa ini bukan satu jenaka, tapi merupakan sebahagian kajian serius bagi mengetahui cara mengubah ciri-ciri dalam masyarakat sekarang yang mementingkan kebendaan dan kejayaan,” katanya.
Tambah Von Borries, biasiswa tersebut terbuka kepada rakyat Jerman sahaja, manakala pemohon bebas memilih aktiviti yang tidak mahu dilakukan.
“Orang ramai perlu mengemukakan permohonan dengan mengisi borang dan mencadangkan kepada kami aktiviti yang mereka tidak akan lakukan secara berterusan dalam tempoh selama mana yang mereka ingini.
“Tiga orang yang terpilih akan menerima biasiswa tersebut. Bayaran akan dibuat apabila pemohon menghantar laporan mereka pada pertengahan Januari tahun depan.
“Mereka yang menghantar laporan tetap akan menerima bayaran tanpa mengira sama ada usaha untuk tidak aktif berjaya atau tidak,” ujarnya.
– Agensi