fbpx

Watak drama paling dibenci netizen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

 

ADHAM SHADAN, PENOLONG PENGARANG BERITA

 

Isnin lalu berakhirlah sebuah drama rantaian fenomena di Malaysia, 7 Hari Mencintaiku 2 di kaca televisyen. Maka, keringlah sudah air mata para penonton menyaksikan gelora emosi Mia dan Khuzairi serta surutlah samudera kebencian terhadap Nurul Ain dan Mak Leha.

Kini, tiada lagi video-video tular abang-abang bomba sebak menonton drama ini, budak meraung melihat hubu­ngan Khuzairi dan Mia yang bertali arus diuji mahupun ahli politik berkongsi foto babak akad nikah drama yang bersiaran pukul 7 malam di TV3 ini.

Lenyaplah juga jaringan kecaman dan kemarahan di media-media sosial terhadap dua watak antagonis Nurul Ain dan Mak Leha lakonan aktres Wafariena Roslan dan Liza Abdullah.

Ditunjangi lakonan mantap Siti Saleha sebagai Mia dan Shukri Yahaya sebagai Khuzairi, watak Nurul Ain dan Mak Leha antara nama yang sering tular bersama drama yang kerap mencatat sohor kini di Twitter ini.

Watak wanita perampas suami orang oleh Nurul Ain dan watak Mak Leha, si ibu yang tergamak mahu anaknya berkahwin lain menjadi sasaran makian netizen.

Natijah­nya, ramai penonton yang terlampau menghayati drama itu telah marah-marah kepada pelakonnya, Wafariena sehingga dilaporkan diancam simbah asid.

Penulis teringat kepada satu lagi drama yang menjadi fenomena sehingga mencatat kejayaan 12 juta tontonan pada tahun 2018, Jangan Benci Cintaku yang turut menampilkan watak tular Husna dan Nek Pah.

Seperti mana Wafariena, Niena Baharun yang melakonkan watak Husna si perampas turut dibenci ramai sehingga dilaporkan ada netizen wanita mengugut untuk menendang perut aktres yang ketika itu sedang hamil jika terjumpa depan mata.

Anda boleh memegang watak sejahat manapun seperti penyangak, pembunuh atau perompak tanpa begitu dibenci ramai penonton era ini. Tetapi melakonkan watak perampas memang tak syak lagi akan mengundang gelombang kecaman yang lebih dahsyat.

Ini bukan lagi zaman pelakon legenda antagonis berwajah bengis, Allahyarham Datuk Mahmud Jun yang diludah orang kerana bawa watak samseng yang mengesankan.

Tambah meruap kebencian netizen terhadap watak pe­rampas jika wanita itu digambarkan dari luarannya baik seperti sopan dan bertudung, manakala dalang perosak rumah tangganya adalah ibu atau nenek sendiri.

Itulah persamaan antara Nurul Ain, Husna, Mak Leha dan Nek Pah. Adakah ini formula populariti sebuah drama? Boleh jadi, ya.

Siapapun watak yang dibenci, penonton perlulah bijak membezakan antara drama dan realiti. Terbawa-bawa amarah di dunia cereka ke alam nyata itu bukanlah tindakan bijak. Bak kata Niena, ‘bencilah Husna, bukan Niena’.

Bagaimanapun, populariti drama 7 Hari Mencintaiku 2 sudah boleh dijangka kerana naskhah musim pertamanya menjadi fenomena dan sangat berjaya apabila menggondol pelbagai anugerah terbaik selain Drama Pilihan dalam Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2017.

Penulis memuji rangkaian drama 7 Hari Mencintaiku ini kerana sebenarnya lebih daripada sebuah kisah cinta sebaliknya turut mengangkat kisah masyarakat seperti penderaan kanak-kanak, kasih kepada orang kelainan upaya, penagihan dadah dan keinsafan kepada Ilahi.

Syabas juga kerana difahamkan drama ini turut menjadi perbualan hangat dalam kalangan penggemar drama Me­layu di Arab Saudi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI