fbpx

Tidak sempat hantar tiga PATI ke Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta yang digunakan seorang wanita untuk menghantar tiga lelaki Bangladesh dari Kuala Lumpur ke Bukit Keteri, Perlis.

Oleh MOHD RAFIE AZIMI

JITRA – Seorang wanita sanggup mengambil risiko memandu sejauh hampir 500 kilometer (KM) kerana dijanjikan upah sebanyak RM450 untuk menghantar tiga lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak dikenalinya dari Kuala Lumpur ke Perlis dekat sini.

Wanita berusia 33 tahun serta tiga lelaki Bangladesh itu bagaimanapun gagal sampai ke destinasi tersebut apabila ditahan polis di Jalan Napoh menghala Changlun dekat sini kira-kira pukul 5.10 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Ismail Ibrahim berkata, kereta jenis Toyota Vios dipandu wanita dari Selangor itu ditahan ketika melalui sekatan jalan raya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran.

“Kereta dinaiki mereka tiba di sekatan jalan raya itu kira-kira pukul 5.10 petang semalam dengan pemeriksaan dijalankan mendapati ketiga-tiga lelaki Bangladesh gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

“PATI berusia 30, 33 dan 36 tahun itu tidak memiliki pasport, namun mempunyai kad permit kerja disyaki palsu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, tiga lelaki warga asing tersebut telah berada di negara ini sejak tiga tahun lalu dan pernah bekerja sebagai buruh binaan dan kilang perabot di Kuala Lumpur.

“Siasatan awal mendapati mereka dari Sentul, Kuala Lumpur menuju ke Bukit Keteri, Perlis dengan tujuan untuk mencari pekerjaan,” ujarnya.

Menurut Ismail, wanita itu pula mencari pendapatan dengan memandu kereta sapu dan dipercayai menerima tawaran melakukan penghantaran itu daripada seorang lagi lelaki Bangladesh yang pernah menjadi penumpangnya sebelum ini.

“Wanita itu mengaku mengambil tiga PATI itu kira-kira pukul 10 pagi di Sentul dan mendakwa belum dibayar untuk melakukan kerja tersebut.

“Dia juga mendakwa kali pertama berurusan dengan ketiga-tiga lelaki berkenaan,” katanya.

Tambahnya, wanita terbabit disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 sementara tiga PATI itu pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI