fbpx

Surat persetujuan Bersatu sertai MN diterima Selasa lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melalui presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menghantar surat persetujuan untuk menyertai gabungan Muafakat Nasional (MN) sejak Selasa lalu.

Setiausaha Bersama Sekretariat MN, Tan Sri Annuar Musa, mengesahkan jawapan berkenaan diterima Selasa lalu, susulan surat jemputan yang dihantar kepada Bersatu untuk menyertai gabungan MN yang dibuat pada 13 Ogos lalu.

Annuar berkata, persetujuan berkenaan dicapai hasil mesyuarat dan perbincangan antara barisan kepimpinan MN yang dibuat pada 6 Ogos lalu.

“Itulah semangat syura, dibincang dan dipersetujui bersama oleh MN pada 6 Ogos. Perkara itu dilapor dalam Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 7 Ogos.

“Surat dihantar pada 13 Ogos, 18 Ogos, kita terima surat setuju daripada Yang Amat Berhormat Presiden Bersatu,” katanya melalui laman Twitter beliau hari ini.

Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam laman Twitternya semalam memaklumkan mengenai mesyuarat MN yang dipengerusikan bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memutuskan untuk menjemput Bersatu menyertai MN.

Mengulas lanjut, Annuar menjelaskan, UMNO dan Pas ketika membincangkan hala tuju MN seperti dalam perjanjian persefahaman (MoU) dan piagamnya sudah menyatakan komitmen untuk membawa pembabitan parti lain dalam memperkasa penyatuan ummah.

“Alhamdulillah, matlamat memperkasa MN secara organik seperti yang tercatat dalam perkara 2.2 MOU/piagam semakin berjaya,” katanya.

Tambah beliau, MN tidak dirancang untuk menjadi eksklusif, sebaliknya mesti membesar secara organik, didukung ummah secara melebar dan meluas.

“Politik norma baharu menuntut keterangkuman. Pihak yang berjaya membina muafakat dan tidak berpecah akan berjaya. Alhamdulillah, pimpinan UMNO dan PAS semakin mara,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI