Di kala seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19, kebanyakan sektor pekerjaan mempunyai batasan untuk berjalan seperti biasa.
Kewujudan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadikan ramai di antara kita lebih kreatif dan panjang akal.
Perkara sama turut dirasakan oleh industri hiburan yang kebiasaannya memang terkenal dengan kehadiran orang ramai bersesak-sesak.
Penulis pernah bertanya kepada beberapa orang artis apakah yang mereka lakukan sepanjang PKP.
Kebanyakannya memberitahu, mereka belajar bagaimana hendak bekerja dari rumah.
Tidak pernah terlintas bahawa seorang selebriti juga boleh bekerja dari rumah.
Penyanyi muda, Sarah Suhairi memberitahu, dia belajar merakam lagu sendiri di dalam bilik yang diubah menjadi studio mini.
Katanya, sebelum ini dia memang memiliki alatan yang diperlukan untuk merekod lagu.
Pasangan selebriti terkenal Yusry Abdul Halim dan Lisa Surihani pula mampu menghasilkan sebuah telemovie bertajuk 6 Hari sewaktu PKP.
Saluran berbayar Astro kini giat membudayakan sistem juri duduk rumah.
Jadi, ini secara tidak langsung membuktikan bahawa industri hiburan sedang berevolusi.
Kemajuan teknologi serba maju hari ini bukan sahaja membolehkan artis bekerja dari rumah, malah konsert juga boleh dianjurkan secara maya.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Sonic Minds Sdn. Bhd., Suffian Abdul Majid, syarikatnya yang berperanan sebagai penganjur konsert berdepan dengan kerugian sepanjang PKP.
“Beberapa konsert dan persembahan dibatalkan.
“Kami sedar keadaan tidak akan lagi kembali sama seperti sebelum Covid-19,” katanya lagi.
Oleh sebab itu, Suffian mengambil langkah berani menganjurkan sebuah konsert secara maya sempena Bulan Kemerdekaan tahun ini.
Bekerjasama dengan Firm Motion Sdn. Bhd., konsert yang dianggarkan menelan belanja RM300,000 ini bakal dijayakan oleh kumpulan Rock terkenal, Wings pada 29 Ogos.
Menurut Suffian, konsert maya adalah medium terbaik untuk merancakkan industri seni yang sedang suram.
“Mahu atau tidak, inilah situasinya sehingga wabak Covid-19 hilang.
“Benar, konsert maya tidak ada penonton tetapi ia boleh diakses di mana-mana,” terangnya.
Vokalis Wings, Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie memberitahu, penonton akan menerima yang terbaik daripada mereka meskipun konsert itu dibuat secara maya.
Janji Awie, tiada sebarang kompromi dari segi kualiti.
“Konsert begini adalah lebih selamat untuk kita semua. Pembeli tiket hanya perlu pastikan talian internet tidak terganggu.
“Bagi penggiat industri hiburan, inilah norma baharu yang perlu diterapkan. Kita serlahkan kreativiti kita untuk memastikan kelangsungan kerjaya,” katanya lagi.
Selain Wings, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin juga ada menjayakan sebuah konsert interaktif online, Manifestival Siti Nurhaliza X HotKool pada 21 Julai lalu.
Tidak keterlaluan, suatu hari nanti konsert juga akan berlangsung dalam keadaan berpagar seperti yang telah diamalkan di Britain.
Kelangsungan industri seni harus diteruskan. Cara dan kaedah sudah direncana seawal mungkin. Bersiapkah kita? Tunggu dan lihat.