Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
MELAKA – Seorang remaja lelaki cedera selepas dilibas dengan parang dalam kejadian samun di rumahnya di Taman Paya Rumput Indah di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, mangsa yang berusia 17 tahun tinggal berseorangan dalam rumah teres itu dua tingkat sebelum didatangi dua lelaki dengan masing-masing bersenjatakan parang.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kedua-dua suspek dipercayai masuk ke dalam rumah tersebut melalui pintu bahagian belakang rumah yang tidak berkunci.
Katanya, suspek kemudian mendapatkan mangsa yang berada di ruang tamu dan mengarahkannya untuk berdiam diri sementara salah seorang daripada mereka naik ke tingkat atas mencari barang berharga.
Jelasnya, seorang suspek kemudian membawa turun sebuah telefon bimbit dan satu passport.
“Ketika suspek cuba melarikan diri, kedua ibu dan bapa mangsa kebetulan pulang ke rumah dan ternampak kejadian tersebut.
“Remaja terbabit kemudian cuba menghalang suspek dari melarikan dengan menggunakan tangga di tembok rumah, namun telah dilibas dengan parang sehingga menyebabkannya cedera di dahi dan bahagian lengan tangan kiri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Afzanizar berkata, kedua-dua suspek bagaimanapun dapat melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan.
“Mangsa yang cedera kini dirawat di bawah pemerhatian doktor dan dilaporkan stabil.
“Siasatan polis ditempat kejadian juga berjaya menimbulkan kesan cap jari selain menemui sarung parang di belakang rumah berkenaan,” katanya.
Katanya, kerugian dianggarkan bernilai RM2,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan. -K! ONLINE