Oleh NOOR HASLIZA NUSI
GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang bertindak memotong bekalan elektrik di tiga premis yang menjalankan kegiatan perjudian atas talian di sekitar daerah Timur Laut Dan Barat Daya hari ini.
Ops Pemotongan Bekalan Elektrik yang dijalankan mulai pukul 10 pagi itu melibatkan premis di Jelutong dan Sungai Tiram di Bayan Lepas.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pemotongan bekalan elektrik turut dilakukan terhadap sebuah premis perjudian dalam talian yang pernah diserbu polis Jun lalu.
“Tindakan ini diambil di bawah Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 bagi memutuskan bekalan elektrik di premis terbabit supaya tidak kembali beroperasi,” katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya turut mengambil tindakan sama ke atas sebuah premis yang berselindung disebalik kedai menjual telefon bimbit di Lintang Sungai Tiram, Bayan Lepas.
Operasi tersebut melibatkan kerjasama dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB). – K! ONLINE