PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) antara persatuan bergerak aktif dalam melengkapkan proses penswastaan kelab menjelang tarikh akhir ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada September depan.
Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd. Firdaus Mohamed mendedahkan, menjelang pertengahan September depan, PAFA akan bertukar status kepada kelab bola sepak (FC) bagi musim depan.
“Perak antara yang cepat dan bersungguh untuk selesaikan penswastaan, kesemua dokumen yang diperlukan telah lengkap dan hanya menunggu untuk diproses mengikut prosedur ditetapkan.
“Mereka antara negeri yang paling proaktif dalam memastikan proses penswastaan dan juga pemisahan FA kepada FC diselesaikan,” katanya selepas menerima kunjungan delegasi PAFA diketuai Timbalan Presiden PAFA, Datuk Adly Shah Ahmad Tah.
Hadir sama Naib Presiden PAFA 1, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad dan Setiausaha Kehormat PAFA, Mohamed Helmi Mohamed.
FAM sebelum ini menegaskan pasukan yang gagal melakukan pemisahan FA kepada FC tidak dibenarkan menyertai Liga Super atau Liga Premier musim depan sebaliknya diturunkan ke Liga Amatur iaitu Liga M3.
Sementara itu, Adly Shah ketika ditemui berkata, pihaknya optimis terhadap pertukaran itu kerana PAFA komited untuk melakukannya.
“Alhamdulillah FAM telah beri jaminan proses penswastaan kelab akan selesai tidak lama lagi, kita telah bentangkan segala dokumen diperlukan dan mereka berpuas hati,” katanya.