IPOH – Seorang penganggur yang aktif menjual ketum sejak tiga tahun lalu sekali lagi ditahan polis buat kali keenam dalam satu serbuan di dua buah rumah teres di Pasir Puteh di sini Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam serbuan oleh Jabatan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada pukul 4.30 petang itu, pihaknya menahan lelaki berusia 49 tahun itu hasil maklumat orang awam.
“Terdahulu dalam serbuan sama, kita menahan dua lelaki berusia 23 dan 33 tahun yang sedang asyik memasak air ketum di ruangan dapur salah satu rumah berkenaan.
“Mereka mengaku telah diupah sebanyak RM50 hingga RM80 untuk memasak air ketum dan hasil soal siasat membawa kepada serbuan ke rumah bersebelahan yang dipercayai tempat menyimpan air ketum sebelum dijual kepada para pelanggan,” katanya pada sidang akhbar di IPD Ipoh hari ini.
Tambah A. Asmadi, dalam serbuan itu polis merampas sebanyak 500 botol air ketum yang berjumlah 750 liter keseluruhannya bersama 78 kilogram (kg) daun ketum di dalam empat plastik hitam.
“Turut dirampas sebuah periuk besar, senduk kayu dan tong gas serta satu peti sejuk dan jumlah rampasan dianggarkan RM8,280.
“Lelaki berusia 49 tahun berkenaan mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan ketum dan lelaki berusia 33 tahun pula mempunyai dua rekod berkaitan dadah dan jenayah,” katanya.
Katanya, hasil siasatan mendapati semua air ketum tersebut dijual di sekitar Ipoh dan bekalan daun ketum pula dipercayai dari utara negara.
“Ketiga-tiga mereka kini ditahan reman selama empat hari bermula 20 hingga 23 Ogos depan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Ini merupakan kes terbesar berkaitan daun ketum yang kita berjaya tangkap di Ipoh tahun ini dan saya mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat kepada polis,” katanya.
Sementara itu, polis turut merampas sebanyak 28 beg plastik hitam berisi daun ketum seberat 448 kg daripada sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
“Bagaimanapun, suspek yang merupakan seorang lelaki telah melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi lain dipercayai rakannya selepas kenderaan dipandunya terbabas berhampiran Plaza Tol Jelapang.
“Polis kini sedang mengesan suspek berkenaan dan jumlah rampasan daun ketum dianggarkan bernilai RM4,480,” katanya. – K! ONLINE