Oleh ZAKI SALLEH
IPOH – Seorang nenek sesak nafas setelah terhidu asap tebal apabila rumahnya di Kampung Tok Chedang, Pasir Puteh di sini dijilat api semalam.
Dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 11.30 malam itu, warga emas berusia 80 tahun itu bagaimanapun berjaya diselamatkan jiran-jirannya.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Mohd. Fadzeli Che Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.33 malam.
Menurut beliau, sepasukan anggota bersama jentera dari balai berkenaan dikerah ke tempat kejadian bagi memadam kebakaran.
“Semasa bomba tiba, mangsa yang berumur 80 tahun telah diselamatkan oleh jiran-jiran dan dia tidak mengalami kecederaan selain sesak nafas.
“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran hos dari tangki jentera bagi mengawal kebakaran,” katanya.
Katanya, warga emas itu pula telah diberikan bantuan pernafasan awal oleh anggota paramedik dan keadaanya stabil.
“Turut membantu ialah jentera daripada BBP Ipoh serta pasukan sukarelawan bomba Pasir Pinji, Pekan Baru dan Menglembu.
“Operasi tamat pada pukul 1.22 pagi manakala punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya. – K! ONLINE