PARIS – Murid sekolah berumur atas daripada 11 tahun di Perancis akan diwajibkan memakai pelitup muka apabila mereka kembali ke sekolah seminggu lagi, kata Menteri Pelajaran, Jean-Michel Blanquer.
Dasar baharu itu menandakan pelaksanaan langkah lebih ketat ketika jangkitan koronavirus makin serius di Perancis dengan 4,700 kes dilaporkan kelmarin, peningkatan besar berbanding hari sebelumnya dan rekod baharu selepas pelaksanaan perintah berkurung.
“Penggunaan pelitup muka akan menjadi sistematik bermula daripada sekolah menengah dan tidak terhad kepada kawasan yang tiada penjarakan fizikal tetapi juga di kawasan terbuka,” kata Blanquer dalam satu wawancara lewat kelmarin.
Menurutnya, kerajaan juga akan membekalkan pelitup muka kepada keluarga miskin berdasarkan penilaian bagi setiap kes.
Langkah itu melibatkan pelajar berusia antara 11 tahun hingga 18 tahun. Pelajar di Perancis akan kembali ke sekolah pada 1 September ini.
Wabak Covid-19 meragut lebih 30,400 nyawa di negara berkenaan setakat ini. – AFP