Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI
SEPANG – Lelaki warga Bangladesh, Md. Rayhan Kabir yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 9 malam sebentar tadi.
Lelaki kontroversi itu tiba di aras lima terminal perlepasan KLIA menaiki van Jabatan Imigresen dengan diiringi beberapa pegawai imigresen untuk berurusan di kaunter. Lelaki itu tiba dengan tangan bergari dan dibawa oleh pegawai imigresen untuk diusir ke negara asalnya.
Penerbangan pulang Md. Rayhan ke Dhaka, Bangladesh menerusi pesawat Malaysia Airlines MH0196 pukul 11 malam ini.
Terdahulu, Md. Rayhan ditahan ketika bersembunyi di sebuah kondominium di Jalan Pahang 4 Julai lalu.
Sebelum ini, JIM memohon bantuan orang ramai bagi mengesan Md. Rayhan untuk membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Pada 3 Julai lalu, Al Jazeera menyiarkan dokumentari berjudul Locked Up in Malaysia’s Lockdown dengan Md. Rayhan dilihat mengkritik kerajaan Malaysia dan mendakwa wujud diskriminasi dalam mengendali kes Covid-19 membabitkan warga asing. – K! ONLINE