Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
JOHOR BAHRU – Seorang pemandu lori tangki berdepan detik cemas apabila kenderaan yang membawa muatan sebanyak 35,000 liter minyak sawit itu terbakar di jambatan Sungai Kim Kim, Pasir Gudang di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan II, Shahrudin Saari berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 9.42 pagi.
“Setibanya di lokasi kejadian, kira-kira 15 peratus lori tangki berkenaan didapati terbakar melibatkan bahagian belakang tangki dan tayar sebelum api berjaya dipadam.
“Pemandu lori yang berusia 59 tahun selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambahnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan manakala operasi ditamatkan pada pukul 10.20 pagi. – K! ONLINE