fbpx

Lima sekeluarga parah kereta terbabas masuk gaung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Semua mangsa sedang dalam perjalanan dari Gerik ke Kelantan.

GERIK – Lima sekeluarga termasuk dua remaja parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam 60 meter di Kilometer 58.4 Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 9.45 pagi itu, difahamkan kereta jenis Honda City dinaiki mereka berlima sedang dalam perjalanan dari Gerik ke Kelantan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizul Aswad Asaris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 9.56 lagi sebelum sepasukan sembilan anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Tiba di lokasi kejadian, anggota mendapati tiga mangsa dewasa berusia antara 20 hingga 51 tahun masih berada di lokasi manakala dua lagi mangsa yang merupakan remaja berusia 13 dan 17 tahun telah dibawa ke hospital oleh orang awam.

“Anggota kemudian menggunakan tali untuk menarik semua mangsa ke atas menggunakan jentera sebelum menghantar mereka ke Hospital Gerik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Azizul, operasi menyelamatkan mangsa yang jatuh gaung tersebut turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Kelantan.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 1.30 tengah hari,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI