fbpx

Lelaki maut motosikal tidak berhenti di lampu isyarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa, Mohamad Syaqusyairi Yusoff,21, maut di persimpangan lampu isyarat Lebuhraya Baru Pasir Hor selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux malam tadi.

Oleh ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU – Seorang penunggang motosikal maut atas kecuaian sendiri selepas tidak mematuhi lampu isyarat merah sehingga dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di persimpangan Lebuhraya Baru Pasir Hor di sini malam tadi.

Kejadian pada pukul pukul 10.20 malam itu mengakibatkan Mohamad Syaqusyairi Yusoff,21, yang bekerja kampung disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan awal mendapati, nahas itu berlaku sewaktu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang berada di persimpangan lampu isyarat membelok ke kanan dari susur lebuh raya.

Katanya, kenderaan itu membelok dari arah Ketereh ke Pasir Hor selepas pemandu yang berusia 19 tahun melihat lampu isyarat bertukar hijau.

“Sewaktu kenderaan itu membelok, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai tidak mematuhi lampu isyarat merah turut melintasi kawasan persimpangan.

“Akibat jarak yang terlalu dekat, Toyota Hilux itu merempuh dapra (fender) hadapan sebelah kanan motosikal mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Menurut Abdul Rahim, kemalangan itu menyebabkan mangsa terjatuh sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Sehubungan itu, Abdul Rahim turut menasihati pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal supaya mematuhi lampu isyarat.

Katanya, hasil pemantauan pihak polis mendapati penunggang motosikal sering melanggar lampu isyarat apabila mereka melihat tiada kenderaan meskipun ketika itu lampu masih merah.

Beliau berkata, tindakan itu amat berbahaya sehingga boleh membawa maut kepada pengguna jalan raya sendiri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI