fbpx

Kayuhan bahagia Siti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NURHALIZA

SENGGANG masa 14 tahun melayari kehidupan berumah tangga bukanlah satu perkara mudah untuk dijalani. Biar 1,000 tahun pun, hikayat suka duka dalam perkahwinan ialah makanan yang harus ditelan setiap pasangan. Ada ketika tercuit rasa, rajuk bertamu di dalam dada, namun itulah resam hidup suami isteri. Bak kata bidalan, sedangkan lidah lagi tergigit.

Perkara sama turut diperakui penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika diajak berbicara tentang pahit manis menjalani hidup bersama pemimpin hati, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

SITI dan Datuk K menjadikan aktiviti berbasikal sebagai pemanas hubungan rumah tangga mereka.

 

Sudah bertahun hidup berumah tangga, pasangan ikonik itu menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-14 pada 21 Ogos lalu.

“Hidup berumah tangga merupakan anugerah kebahagiaan yang diberikan Tuhan untuk saya. Syukur atas kurnia bahagia tempoh 14 tahun bersama suami tetapi perjalanan kami masih panjang untuk dijalani.

“Jadi sekarang saya mahu nikmati kehidupan seterusnya sebagai pasangan, teman dan rakan bisnes. Antara saya dan suami, kami saling menyokong antara satu sama lain,” ujar Siti saat diminta menterjemah makna di sebalik usia pernikahan mereka.

Manis

Sesekali melemparkan senyuman nipis sambil mengelus kumisnya, barangkali ada momen indah yang menjengah dalam fikiran Datuk K tatkala berbicara tentang keindahan berumah tangga.

Akuinya, sejak bergelar suami isteri, hanya sekali hubungan dibadai taufan pertengkaran. Itu pun dalam tempoh empat tahun pertama selepas berkahwin.

Sejak dari situ, tidak pernah lagi mereka bertengkar melainkan sekadar gaduh-gaduh manja sama seperti pasangan lain.

“Semakin lama, kami belajar bahawa hidup berpasangan perlu saling menghormati antara satu sama lain dan memahami segala kelemahan serta kekuatan masing-masing.

“Masih terngiang-ngiang dalam fikiran saya tentang kisah awal percintaan kami dahulu. Saya terasa macam baru sahaja berkahwin dengan Siti,” ujar ahli perniagaan itu.

Ditebak tentang sisi peribadi suri hatinya yang mungkin tidak pernah diketahui peminat, Datuk K kembali tersenyum.

“Apa yang orang luar lihat, itulah Siti. Dia tiada karakter lain. Di sebalik seorang wanita bernama Siti Nurhaliza, dia penuh dengan kasih sayang. Sifat cemburu sudah tentu ada tetapi sangat berpada-pada,” ujar lelaki berusia 61 tahun itu ringkas.

TIADA majlis besar-besaran atau hadiah mewah, tahun ini. Siti dan Datuk K meraikan ulang tahun perkahwinan mereka secara sederhana bersama kawan-kawan yang berkongsi hobi sama.

 

Riadah

Jika sebelum ini perhatian peminat sentiasa tertumpu terhadap acara sambutan ulang tahun perkahwinan mereka yang gilang gemilang, bahkan Siti juga acap kali dimanjakan dengan hadiah mewah daripada suami, suasana tahun ini pula benar-benar berbeza.

Mengakui mengambil iktibar daripada penularan Covid-19 yang sememangnya meninggalkan dugaan besar, terutama dari sudut ekonomi dan kewangan manusia sejagat, Siti dan Datuk K memilih untuk bersederhana dalam berkongsi kebahagiaan mereka.

Kata Siti, beliau meletakkan kebendaan bukan lagi sebagai perkara utama untuk dijadikan simbolik kebahagiaan.

Sebaliknya kata Siti, peluang dan ruang yang ada ketika ini mahu digunakan sebaik mungkin untuk dihabiskan bersama lelaki tercinta.

“Saya faham orang selalu tertunggu hadiah apa yang Datuk K akan bagi tetapi tahun ini tiada apa-apa pun.

 

TERLIBAT dengan konsert Manifestival Siti Nurhaliza X HotKool secara maya baru-baru ini, Siti menyifatkan penganjuran persembahan sebegitu mewujudkan elemen istimewa dan berbeza bagi penyanyi sepertinya.
– FAUZI BAHARUDDIN

 

“Sebab, apa yang paling penting bagi saya sekarang adalah menghargai masa bersama.

“Kita perlu faham keadaan semasa yang menyaksikan ramai orang berdepan dugaan hidup. Jadi kami tidak mahu terlalu menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

“Cukuplah tahun ini kami sambut dengan meluangkan masa bersama menerusi penganjuran aktiviti riadah berbasikal ke Bukit Fraser, Pahang,” ujarnya.

Terdahulu Siti dan suami mengadakan aktiviti berbasikal Anniversary Ride bersama pasukan CTDK Cycling Team sempena sambutan awal meraikan ulang tahun perkahwinan mereka.

Acara tersebut disertai seramai 50 peserta yang memulakan kayuhan dari Kuala Kubu Bharu, Selangor ke Bukit Fraser sejauh 48 kilometer.

SEMPENA ulang tahun perkahwinan yang ke-14, Siti dan Datuk K bersama CTDK Cycling Team menganjurkan Anniversary Ride ke Bukit Fraser pada 9 Ogos lalu.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI