fbpx

Hazani kini menjawat jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Acryl Sani (dua dari kanan) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah antara Datuk Hazani Ghazali (kanan) yang menggantikan Datuk Zaini Jass (tiga dari kanan) di IPK Sabah.

Oleh IVAN AMIRUL

KOTA KINABALU – Perlantikan Datuk Hazani Ghazali sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah baharu mampu memberi impak positif dalam pentadbiran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pemilihan Hazani bagi memegang tampuk PDRM di Sabah bukan perkara asing.

“Beliau pernah memegang jawatan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sebelum ini, ia sekaligus membuktikan beliau sangat memahami situasi Sabah secara keseluruhannya.

“Tanggungjawab yang digalas sebelum ini amat penting terutamanya dalam memastikan keselamatan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) sentiasa terpelihara.

“Rakyat di negeri ini juga sudah mengenalinya sejak beliau menjawat jawatan sebagai Komander ESSCOM.

“Sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah, tanggungjawab itu bukan saja untuk memastikan kawasan ESSZONE selamat, malahan seluruh negeri ini,” katanya ketika ditemui media ketika menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah antara Datuk Hazani Ghazali yang mengantikan Datuk Zaini Jass dan Pengerusi Perkep Kontinjen Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zaini dipindahkan ke Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman berkuatkuasa hari ini.

Sementara itu, Hazani dalam ucapannya berkata, beliau akan meneruskan misi dan visi yang disusun atur oleh bekas Pesuruhjaya Polis, Datuk Zaini Jass.

“Beberapa penambahbaikan akan dilakukan termasuklah kajian berkaitan taburan jenayah yang berlaku di negeri ini.

“Saya juga bakal memberi fokus kepada sindiket dadah yang berleluasa di Sabah kerana negeri ini kebiasaannya dijadikan pusat transit sindiket dadah mengedar ke negara jiran terutamanya Indonesia dan Filipina.

“Selain itu, fokus turut akan diberikan kepada ketua atau dalang sindiket serta penyeludupan dan saya akan pastikan fail kes dibuka dan tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.

Hazani berkata, beliau juga akan meneruskan kerjasama dengan mengekalkan keselamatan dan kesiapsiagaan di kawasan ESSZONE.

“Kita berharap Komander ESSCOM yang baharu akan terus memberi sokongan untuk bersama-sama menggerakkan semula dan perkemaskini semula untuk penentuan operasi yang bakal dilaksanakan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI