KEJAYAAN menewaskan pasukan Liga Super, Kedah 3-2 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Darul Aman kelmarin mampu menjadi pembakar semangat dan keyakinan kepada skuad Harimau Kumbang menjelang perlawanan pertama Liga Premier yang bersambung 29 Ogos ini.
Jurulatihnya, Manzoor Azwira Abd. Wahid bagaimanapun mengingatkan agar para pemain Pulau Pinang tidak harus berasa selesa atau terlalu yakin bagi memastikan pasukan itu tidak tergelincir pada saingan Liga Premier.
“Kami berada di kedudukan ketiga liga ketika ini dan kedudukan itu mungkin dilihat baik tetapi mata setiap pasukan lain cukup rapat.
“Jadi kami tidak boleh leka. Benar kemenangan itu mungkin membantu menambah keyakinan pasukan tetapi masih banyak perlu dilakukan bagi memastikan hasrat ke Liga Super tercapai,” katanya.
Pada aksi kelmarin, Pulau Pinang terlebih dahulu ketinggalan 2-0 dalam separuh masa pertama hasil jaringan penyerang baharu Helang Merah, Muhammad Faizat Mohamad Ghazali pada minit ke-20 dan 27.
Skuad Harimau Kumbang bagaimanapun bangkit pada separuh masa kedua dengan Mohammad Amer Azhar, Bobby Gonzalez dan Rafael Vitor Santos masing-masing menyumbangkan satu gol pada minit ke-59, 83 dan 87 sekali gus menghasilkan kemenangan buat mereka.
Manzoor menambah, ketika ini persediaan pasukan baru berada pada tahap 80 peratus dengan pemain dilihat masih cuba mencari rentak dan keserasian setelah lama berehat akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).