GELARAN pasangan paling bergaya di Taiwan ketika ini tidak lagi dipegang oleh selebriti remaja mahupun belia.
Sebaliknya gelaran itu dilihat menjadi milik pasangan warga emas yang menjalankan perkhidmatan dobi dengan memperagakan pakaian terpakai atau bundle.
Chang Wan-Ji, 83, dan isterinya, Hsu Sho-er, 84, telah mengumpul lebih 600,000 pengikut instagram selepas foto mereka memperaga pakaian tular pada bulan lalu di negara kecil berpopulasi 23 juta penduduk itu.
Malah, wajah pasangan tersebut turut dipaparkan dalam dua majalah fesyen terkemuka Taiwan iaitu Taiwan Vogue dan Marie Claire.
Realitinya, pasangan bahagia tersebut hanya menjalankan perniagaan cucian dobi selama beberapa dekad di sebuah pekan kecil berhampiran pusat bandar Taichung.
Sepanjang warga emas lanjut usia itu menjalankan perniagaan tersebut, ada pelanggan mereka yang terlupa atau sengaja tidak mengambil kembali pakaian selepas dicuci.
Meskipun begitu, pasangan berkenaan tidak pernah sesekali terfikir untuk membuang pakaian-pakaian terpakai tersebut.
Hilangkan kebosanan
Salah seorang cucu mereka, Reef Chang, 31, memberi idea kepada pasangan berkenaan supaya memperagakan pakaian-pakaian terpakai itu bagi mengurangkan rasa bosan mereka.
“Datuk dan nenek saya sering menghabiskan masa merenung jalan raya disebabkan perniagaan ketika ini kurang baik.
“Jadi, saya berusaha mencari satu aktiviti yang boleh memberi kegembiraan kepada mereka selain dapat mengisi masa lapang,” ujarnya.
Chang dan rakan-rakannya sering membantu pasangan tersebut memadankan kemeja, seluar pendek dan blaus dengan aksesori seperti beg tangan, topi dan cermin mata.
Menerusi padanan seluar pendek dan kemeja tersebut, datuknya kelihatan seperti mahu melancong ke Havana, Cuba.
Sementara itu, neneknya yang berpakaian blaus dan skirt berjaya menonjolkan sosok langsing tubuhnya.
Dia kemudian meminta datuk dan neneknya beraksi di depan mesin basuh atau pengering di kedai dobi sebelum merakam gambar mereka.
Apabila beraksi di depan kamera, gaya pasangan tersebut tidak ubah seperti model terkemuka, sekali gus menjadikan foto mereka kelihatan semula jadi.
“Memperagakan pakaian ini membuatkan saya berasa 30 tahun lebih muda. Ramai orang memberitahu, saya sudah terkenal dan kelihatan lebih muda,” ujar Wan-Ji.
Perkara sama turut dirasakan oleh pasangannya, Sho-er. Katanya, meskipun umurnya semakin bertambah dari hari ke hari, namun perasaannya tidak pernah tua.
“Saya masih suka mengenakan pakaian cantik dan menghabiskan masa dengan bersiar-siar,” ujarnya.
Teringat zaman muda
Ketika memperagakan pakaian terpakai, Sho-er mula teringat dia sebenarnya mempunyai banyak pakaian ketika zaman mudanya yang disimpan di dalam almari.
“Saya menemui beberapa pakaian yang saya beli ketika berusia 30-an. Saya masih muat memakainya. Ini satu kejutan yang menggembirakan,” ujarnya.
Akaun instagram pasangan berkenaan, @wantshowasyoung diuruskan oleh cucu mereka, Chang.
Wan-Ji ketika ini hanya menggunakan aplikasi Line untuk berhubung dengan peminatnya.
Bagaimanapun, Chang berkata, datuknya amat berminat mempelajari cara membuat penulisan sempurna dalam instagram.
Akaun instagram pasangan berkenaan menjadi tular di luar negara selepas beberapa media antarabangsa memaparkan berita mereka.
Sejak awal bulan ini, akaun mereka mendapat pertambahan sehingga ratusan ribu pengikut baharu.
Chang memberitahu, dia adalah individu bertanggungjawab menterjemahkan setiap mesej yang dihantar para peminat dari seluruh dunia kepada datuk dan neneknya.
“Anda berdua sangat comel, teruskan bergaya,” tulis seorang wanita dari Britain di Instagram.
“Cinta Wan-Ji dan Sho-er membuatkan saya rasa tidak takut untuk tua,” tulis seorang lagi peminat.
“Kami sangat terharu dengan mesej-mesej yang dihantar. Rata-rata peminat menganggap khabar kewujudan pasangan ini sebagai berita gembira yang mereka baca pada tahun kegelapan ini,” ujarnya.
Tahun 2020 dianggap sebagai kegelapan kerana banyak negara di dunia terkesan akibat pandemik Covid-19.
Bagi Chang, dia bukan sahaja ingin melihat datuk dan neneknya bahagia, namun meluangkan lebih banyak masa dengan mereka.
“Saya masih ingat ketika remaja, mereka banyak menghabiskan masa dengan saya. Sekarang datuk dan nenek sudah tua, saya tidak tahu berapa banyak masa yang dapat diluangkan bersama mereka,” katanya.
Kemasyhuran pasangan tersebut di seluruh dunia berjaya mengingatkan kembali beberapa pelanggan mereka yang tertinggal pakaian sebelum ini.
Ada segelintir peminat tempatan yang sanggup datang jauh semata-mata untuk melawat ke kedai dobi mereka.
Kedai dobi mereka dikenali dengan nama Wan Sho iaitu hasil gabungan nama tengah pasangan itu yang berbunyi seakan want show (mahu tunjukkan) dalam bahasa Inggeris.
Pasangan ini mengikat ikatan suami isteri dalam perkahwinan yang diatur oleh keluarga kira-kira enam dekad lalu.
Perkara itu adalah satu kebiasaan bagi pasangan di Taiwan.
Wan-Ji berkata, dia pernah memikirkan untuk bersara daripada perniagaan dobi, namun memutuskan kekal bertahan meskipun perniagaan itu semakin kurang mendapat sambutan.
“Orang tua harus terus bergerak dan kekal aktif, jika tidak terus bertambah tua. Apabila bekerja dan sibuk, saya tidak mempunyai masa untuk berasa bimbang,” katanya yang memberitahu agak sukar untuk mengetahui jumlah pakaian yang tidak diambil pelanggan selepas beberapa dekad beroperasi.
Bagaimanapun, dia menganggarkan bilangannya tidak kurang daripada 400 pakaian buat masa ini. Jumlah itu tidak termasuk pakaian yang telah disumbangkan kepada badan amal dan keluarga miskin.
Wan-Ji yang memulakan perniagaan dobi pada usia 14 tahun bagi membantu keluarga berkata, orang ramai mula meninggalkan baju cucian mereka apabila harga pakaian semakin murah.
“Dahulu, pakaian sangat mahal dan berharga sehingga boleh digadai di kedai pajak gadai apabila anda memerlukan wang,” katanya.
Pasangan itu berharap dapat menggunakan pengaruh media sosial mereka untuk mempromosikan ‘fesyen mesra alam sekitar’.
“Pakaian lama masih boleh digayakan andai orang ramai pandai menggabungkannya dan memberi nafas baharu. Langkah ini dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar,” katanya.