fbpx

Wanita melecur rumah didiami musnah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba sedang melaksanakan operasi pemadaman kebakaran di Kampung Durok, Keningau. - Foto IHSAN BOMBA

Oleh IVAN AMIRUL

KENINGAU – Seorang wanita melecur pada bahagian tangan sewaktu cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran di rumahnya terletak di Kampung Durok hari ini.

Wanita terbabit yang dikenali sebagai Jane, 40, melalui detik cemas terbabit ketika mahu keluar menyelamatkan diri dalam kejadian pukul 10.50 pagi itu.

Namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.59 pagi menerusi talian kecemasan 999.

“Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan l, Jasree Mohammad bersama 12 anggota dengan kekuatan tiga jentera dan sebuah kenderaan Emergency Medical Rescue Service (EMRS) serta sebuah kenderaan utiliti pelbagai guna.

“Lokasi terletak kira-kira empat kilometer dari balai bomba Keningau.

“Kejadian melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal berkeluasan 222 meter persegi yang musnah seratus peratus.

“Bagaimanapun, operasi pemadaman kebakaran segera dilaksanakan untuk mengawal api dari terus merebak ke rumah berhampiran,” katanya.

Menurutnya, terdapat seorang mangsa wanita yang cedera ringan melecur di bahagian tangan semasa menyelamat diri.

“Wanita berkenaan sudah diberikan rawatan oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Keningau bagi rawatan susulan.

“Anggota bertugas berjaya mengawal api kebakaran pada pukul 12.30 tengah hari.

“Punca sebenarnya kebakaran dan anggaran kerugian keseluruhan masih dalam siasatan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI