LONDON – Seorang tukang kayu memanfaat tempoh perintah berkurung selama tiga bulan untuk mengubah suai sebuah van lama menjadi kediaman bergerak mewah di Somerset, England, lapor portal Mirror UK.
Daryl Lloyd Witt, 36, yang juga seorang peluncur ombak berkata, dia memasang impian bermalam di sebuah rumah bergerak semasa keluar meluncur dan tempoh perintah berkurung sejak April lalu membolehkan perkara itu direalisasikan.
“Sebaik pelaksanaan perintah berkurung diumum, saya ambil keputusan untuk membeli sebuah van dan mengubah suai sendiri hingga menjadi satu kediaman bergerak.
“Ada banyak kenderaan seperti ini yang digunakan peluncur tetapi agak kecil dan tidak sesuai untuk didiami atau menghabiskan masa selama beberapa minggu di dalamnya,” kata Witt.
Selepas projek itu selesai, dia memuat naik gambar van mewah itu ke laman media sosial dan dibeli sebuah syarikat untuk dijadikan hadiah satu pertandingan.
“Apabila melihat semula gambar van sebelum diubah suai, saya rasa seperti tidak percaya dengan hasilnya.
“Saya menjual van itu kepada sebuah syarikat pada harga £39,000 (RM215,860) untuk mereka menjadikannya sebagai hadiah cabutan bertuah,” ujarnya
Tambah Witt, dia tetap akan meneruskan usaha-usaha menghasilkan van dengan kediaman mewah pada masa akan datang. – AGENSI