fbpx

Tokoh Maal Hijrah tidak jemu cari ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDULLAH menunjukkan sijil anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah 1441H/2019M dan anugerah Tokoh Maulidur Rasul Kedah 2015 yang pernah diterimanya.

Oleh NUR SYAZWANA MANSOR

SUNGAI PETANI – Pembelajaran sepanjang hayat. Demikian prinsip yang dipegang oleh Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah 1441H/2019M.

Abdullah Yahya, 76, yang juga merupakan Imam Masjid Pokok Asam, Bakar Arang di sini berkata, meskipun usianya sudah mencapai kategori usia emas namun ia tidak menjadi penghalang buat dirinya untuk menuntut ilmu dalam bidang yang diminati.

Kata beliau, kerana cintakan ilmu dia kini sedang melanjutkan pengajian dalam Kursus Bahasa Arab dan Al-Quran di Universiti Malaya (UM) melalui pembelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’adzam Shah (UniSHAMS).

“Kini pengajian saya sudah masuk tahun ketiga dan Insya-Allah saya bakal menamatkan pengajian pada tahun hadapan.

“Saya adalah pelajar paling tua dalam kelas namun ia bukan halangan kerana saya menekankan konsep pembelajaran sepanjang hayat untuk memastikan keseimbangan ilmu di dunia dan akhirat,” katanya di sini semalam.

Beliau mempunyai lima cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan arwah isterinya, Allahyarham Ramlah Ahmad.

Abdullah berkata, kursus yang dipelajarinya sekarang adalah berkaitan Al-Quran, jadi dia mengambil pendekatan dengan mengamalkan membaca al-Quran sebanyak satu hingga dua juzuk sehari sebagai sesi ulang kajinya.

“Saya akan khatam al-Quran dua kali dalam tempoh sebulan, selain untuk tujuan ibadah ianya juga sebagai satu bentuk persediaan dan latihan ulang kaji kerana ia mempunyai kaitan dengan kursus yang saya ambil,” katanya.

Tambahnya, dia bercadang untuk mengadakan kelas Bahasa Arab di Masjid Pokok Asam sebaik sahaja tamat pengajian di UM nanti.

“Saya bercadang nak adakan kelas Bahasa Arab untuk orang dewasa sebaik sahaja tamat pengajian nanti dan ingin  berkolaborasi dengan pensyarah dari UM sebagai tenaga pengajar kedua.

“Saya mahu berkongsi ilmu dengan orang awam selain mahu orang Islam dapat menguasai al-Quran,” katanya.

Difahamkan selain Bahasa Arab, Abdullah juga boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Arab Ammiyah (Bahasa Pasar), Hokkien, Tamil dan Urdu.

Dalam pada itu, Abdullah berkata dia berharap golongan muda terutamnya imam-imam muda pada masa ini supaya tidak jemu menuntut ilmu.

“Saya harap bila generasi muda lihat kesungguhan saya menuntut ilmu mereka pun ada motivasi untuk menyambung pelajaran lagi,” katanya.

Selain memegang jawatan sebagai Imam Masjid Pokok Asam, Abdullah turut memegang sembilan jawatan penasihat di beberapa buah jabatan dan agensi di negeri ini.

Beliau juga pernah menerima beberapa anugerah seperti Guru Takmir Cemerlang Peringkat Kedah, Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada 1999, Pingat Bakti Setia (PBS) Jabatan Penjara dan Tokoh Maulidur Rasul Kedah 2015. 

Abdullah juga merupakan ahli Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Daerah Kuala Muda, Ahli Jawatankuasa Anti Dadah Kuala Muda, dan Ahli Lembaga Tabung Pegawai Masjid Negeri Kedah Darul Aman. 

Beliau menabur bakti sebagai penjawat awam selama 31 tahun dengan berkhidmat di beberapa agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Sekolah Akhlak Taiping, Sekolah Akhlak Pokok Sena, Agensi Anti Dadah Kebangsaan Kulim dan Pejabat Agama Daerah Kuala Muda sebelum bersara pada 1999. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI