Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
KUALA LANGAT – Sebuah pusat pelupusan sampah haram di Olak Lempit, Banting, di sini dikesan menggunakan jentera pengorek untuk menanam dan meratakan tanah di kawasan itu, semalam.
Dalam operasi bermula pukul 11 pagi oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mendapati kawasan tersebut dipenuhi sampah perindustrian dan isi rumah yang telah ditanam pihak tidak bertanggungjawab.
Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd. Rahim berkata, serbuan dilakukan hasil aduan Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat berhubung lokasi yang dijadikan pusat pelupusan sampah tidak sah.
“Bertindak atas maklumat itu, kami dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Langat menjalankan pemeriksaan di tapak tersebut.
“Semakan kemudian mendapati lokasi itu sememangnya dijadikan tapak pelupusan sampah tanpa kebenaran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ujar beliau, pihaknya turut menemui tumpahan minyak di sekitar lubang dan parit di kawasan itu selain jentera pengorek bagi menanam sampah serta meratakan tanah.
Katanya, MDKL mengeluarkan notis kesalahan dan tindakan sitaan mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Notis itu dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MDKL 2007 atas kesalahan melupuskan sampah di tempat yang tidak dibenarkan.
“Tindakan sitaan pula dilakukan mengikut UUK 21 (1) akta sama melibatkan sebuah jentera pengorek, kompresor angin dan pelbagai peralatan lain;” katanya.
Tambah Amirul, dalam operasi berakhir pukul 4 petang itu, PDT turut mengambil tindakan mengikut Kanun Tanah Negara (KTN).
“Semakan mendapati pemilik tanah beralamat di Shah Alam dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. -K!ONLINE