fbpx

K2

Takwim hijrah nadi umat Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PROSES cerapan anak bulan dilakukan di 29 balai cerap di seluruh negara secara bulanan.

SEAWAL pukul 5.40 pagi, sosok lelaki berusia 57 tahun itu sudah tiba di dalam Masjid Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor.

Sebaik melangkah ke dalam ruang solat, dia terus bergegas ke satu sudut yang menempatkan papan rujukan sebesar satu meter persegi.

Ismail mengambil sedikit masa untuk membelek helaian-helaian kertas yang tertampal pada papan rujukan berkenaan sambil mendongak ke atas untuk melihat jam di dinding.

Selepas berpuas hati, Ismail yang juga seorang bilal terus mencapai pembesar suara pada bahagian depan ruang solat untuk melaungkan azan Subuh.

Ternyata, helaian kertas sebesar saiz A3 itu sangat penting buat Ismail bagi mendapatkan kepastian sama ada waktu solat sudah masuk atau belum.

“Sepanjang 20 tahun saya berkhidmat sebagai bilal, takwim hijrah atau kalendar Islam yang diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ini sangat penting kepada saya untuk mengetahui waktu solat. Takwim ini umpama nyawa bagi bilal seperti saya.

“Meskipun sudah ada kemudahan teknologi yang memaparkan waktu solat, namun saya tetap akan merujuk takwim bagi mendapatkan kepastian,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Takwim hijrah adalah kalendar rasmi umat Islam yang digunakan untuk memudahkan aktiviti ibadat seperti solat dan meraikan hari-hari kebesaran.

Takwim ini berbeza dengan kalendar Masihi kerana takwim menggunakan sistem qamari tulen berpandukan kepada peredaran bulan mengelilingi bumi.

Pengiraan kalendar tersebut bermula daripada peristiwa penting penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah di Arab Saudi pada tahun 622 Masihi.

Menurut Ismail, sebagai seorang Muslim, satu kewajipan kepadanya untuk memiliki dan mempamerkan takwim hijrah di rumah.

 

SIRAJUDDIN menunjukkan Taqwim Hijri 1442 yang dikeluarkan oleh Jakim di ibu pejabat Jakim, Putrajaya. – FARIZ RUSADIO

 

Lelaki berasal dari Sabak Bernam, Selangor itu berkata, takwim hijrah dapat memudahkannya merancang waktu untuk mengerjakan ibadah kepada Allah SWT.

“Melaluinya, saya dapat mengetahui waktu solat, tarikh-tarikh penting dalam Islam seperti hari putih, ketibaan Ramadan dan Syawal.

“Setiap kali masuk tahun baharu, saya akan mendapatkan takwim hijrah sama ada secara percuma di masjid atau membelinya daripada penjual dengan RM5,” ujarnya.

Permulaan penggunaan takwim hijrah adalah hasil cetusan ilham Saidina Umar Al-Khattab pada tahun 17 Hijrah. Ini bagi menggantikan tahun rujukan bermacam-macam kalendar yang digunakan oleh bangsa Arab ketika itu seperti kalendar Tahun Gajah, kalendar Parsi dan kalendar Romawi.

Panduan awam

Takwim hijrah mengandungi 12 bulan dengan setiap bulan mengandungi antara 29 atau 30 hari.

Jakim merupakan agensi yang bertanggungjawab menyelaras takwim hijrah dan tarikh-tarikh penting Islam untuk kegunaan pengurusan pentadbiran dan panduan masyarakat awam di Malaysia. Kalendar berasaskan takwim hijrah yang dikeluarkan Jakim dinamakan Taqwim Hijri.

Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, biasanya takwim hijrah yang dikeluarkan oleh pihaknya atau jabatan mufti negeri-negeri di negara ini dilengkapi dengan jadual waktu solat dan tarikh-tarikh penting dalam Islam.

 

JADUAL waktu solat dan tarikh mengikut perkiraan takwim hijrah di negara ini perlu diperakui oleh Jakim.

 

Terangnya, setiap jadual waktu solat yang disediakan oleh unit falak di jabatan mufti negeri-negeri bersama pakar-pakar kalendar negeri perlu disahkan dan perakui oleh Jakim.

Proses penetapan waktu dibuat dengan merujuk kepada dalil al-Quran dan hadis serta pandangan para ulama. Waktu solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak, Subuh, Syuruk serta Dhuha telah diterangkan di dalam al-Quran secara umum dan dihurai dalam beberapa hadis Rasulullah SAW dengan terperinci supaya mudah dilaksanakan.

Berdasarkan kriteria-kriteria yang digariskan, ahli fikah telah membuat tafsiran supaya waktu dapat ditetapkan dengan lebih mudah. Tafsiran berkenaan akan disesuaikan dengan ilmu falak supaya boleh ditentukan dengan kaedah kiraan (hisab).

“Perbezaan masa waktu solat adalah berbeza mengikut zon dan negeri. Proses pengiraan dilakukan berdasarkan hukum syarak seperti masuk waktu Zuhur apabila gelincir matahari selepas berlaku istiwa’, manakala bermula solat Maghrib selepas matahari terbenam.

“Meskipun jadual waktu solat ini telah ditetapkan, namun dari semasa ke semasa unit falak negeri-negeri bersama beberapa agensi lain yang berkaitan akan berkunjung ke balai cerap untuk membuat pemerhatian sama ada kedudukan matahari selari dengan jangkaan yang disiarkan dalam takwim,“ katanya.

Bagi proses penetapan tarikh-tarikh penting Islam dalam takwim hijrah negara ini, Sirajuddin memberitahu, ia disediakan dan disahkan oleh Panel Pakar Falak Jakim yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman luas dan pakar dalam bidang astronomi, ukur, sains, matematik serta hukum syarak.

Ujarnya, ini juga diselaraskan bersama Jabatan Mufti Negeri-Negeri selaku pihak yang bertanggungjawab di peringkat negeri bagi mengelakkan percanggahan tarikh-tarikh sehingga boleh menimbulkan masalah dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Sirajuddin menegaskan, penetapan tarikh-tarikh penting seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Ramadan dan awal Muharam dilakukan berdasarkan kaedah rukyah (cerapan anak bulan) dan hisab (hitungan).

“Secara tradisinya, proses penetapan permulaan Ramadan, Syawal dan Zulhijah dalam takwim hijrah dilakukan menggunakan pengiraan oleh pakar-pakar. Pengiraan ini membantu Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Negeri dalam menjalankan aktiviti cerapan anak bulan yang kemudiannya akan ditetap dan diisytihar oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

“Bagi mengesahkan ketepatan tarikh-tarikh yang ditetapkan ini, cerapan anak bulan atau hilal turut dilakukan secara bulanan oleh Jakim, jabatan mufti negeri dan agensi-agensi berkaitan di 29 balai cerap di seluruh negara selepas matahari terbenam,” jelasnya.

 

BEGINILAH rupa anak bulan atau hilal apabila dicerap oleh pakar astronomi menerusi teropong teleskop.

 

Hilal dianggap boleh kelihatan sekiranya memenuhi salah satu daripada dua syarat ditetapkan iaitu semasa matahari terbenam, ketinggian bulan tidak kurang daripada dua darjah dengan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada tiga darjah. Syarat berikutnya adalah ketika bulan terbenam, umur bulan tidak kurang daripada lapan jam selepas ijtimak berlaku.

Sebagai salah sebuah negara anggota Menteri-Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS), Jakim turut menggunakan kriteria imkanur rukyah (kebolehnampakan hilal) dalam menyusun takwim hijrah.

Sirajuddin memaklumkan, proses melihat hilal amat bergantung kepada kemahiran pencerap, ketepatan pengiraan, lokasi dan peralatan yang baik serta tiada masalah cuaca dan pencemaran cahaya.

“Sekiranya cerapan anak bulan yang dilakukan di negara ini tidak kelihatan disebabkan faktor-faktor tertentu, maka negara boleh menggunakan hasil cerapan hilal di negara MABIMS untuk mengesahkan tarikh-tarikh penting berkenaan,” terangnya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Seksyen Kajian Falak Jakim, Khairul Anuar Yazid menyeru masyara­kat di negara ini supaya sentiasa merujuk takwim hijrah yang dikeluarkan oleh Jakim dan jabatan mufti negeri-negeri bagi mengetahui waktu solat atau tarikh penting dalam Islam.

Dia juga berharap pengeluar takwim hijrah, laman web dan aplikasi yang menyediakan jadual waktu solat dan tarikh-tarikh penting kepada umat Islam di negara ini supaya menggunakan dapatan Jakim atau jabatan mufti negeri selaku pihak berautoriti.

“Sekiranya berlaku kesilapan, kami tidak teragak-agak memberi teguran dan meminta pihak berkenaan supaya menarik balik takwim hijrah dan aplikasi berkenaan.” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI