fbpx

K2

Sate tuna janjikan kepadatan isi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GERAI Dr. Tuna menyediakan menu berasaskan tuna sirip kuning yang pasti memikat selera.

JIka disebut sate ikan, pasti ramai terbayang lokcing iaitu sejenis makanan yang dibuat daripada tepung serta isi ikan sebelum dibentuk menjadi bebola kecil dan dicucuk pada lidi.

Berbeza dengan lokcing, sate ikan yang boleh didapati di gerai makan Dr. Tuna di Laman Perikanan Maeps, Serdang menawarkan juadah sate berasaskan ikan tuna sirip kuning iaitu tuna kedua terbaik selepas tuna sirip biru.

Menariknya, isi ikan tuna tidak dicampur sebarang adunan tepung dan cara penyediaannya juga hampir sama seperti juadah sate ayam dan daging yang menjadi kegemaran rakyat di negara ini.

Pengurus Operasi Dr. Tuna, Khartini Isa berkata, ikan tuna akan dipotong dan diperap semalaman dengan bahan-bahan seperti serai, kunyit, jintan manis, jintan putih dan bawang bagi mendapatkan rasa serta aroma sate.

Katanya, bagi menghasilkan sate tuna, pihaknya menggunakan ikan tuna sirip kuning bersaiz 30 kilogram ke atas kerana hanya menggunakan 40 peratus loin atau dagingnya.

“Lebih istimewa, ikan laut dalam ini didapati secara segar kerana bukan diimport, sebaliknya didaratkan di Labuan sebelum dihantar ke kilang di kawasan perindustrian Halal Hub Melaka.

 

NASI arab dimasak bersama sate tuna sebelum dibakar dalam buluh, menjadikan rasanya lebih unik dan enak.

 

“Pengendalian tuna juga perlu dilakukan oleh profesional kerana tidak semua boleh memproses ikan ini memandangkan seseorang perlu memiliki sijil khas untuk memotong tuna,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
.
Bakar seperti lemang

Khartini berkata, didatangkan dalam perisa original dan lada hitam, sate tuna juga menjanjikan kepuasan dalam setiap gigitan berikutan dagingnya yang padat, manis dan lembut.

“Kalau makan sushi atau sashimi, hirisan tuna yang digunakan biasanya nipis iaitu kira-kira 15 gram (g) sepiring kecil, tetapi sate tuna yang kami hidangkan lebih tebal iaitu kira-kira 25g secucuk menjadikannya lebih berbaloi untuk dinikmati.

“Selain itu, ia lebih mengenyangkan kerana empat cucuk sate tuna sama seperti memakan 10 cucuk sate biasa kerana isi yang padat,” katanya.

Keenakan sate tuna itu bukan sahaja boleh dinikmati begitu sahaja, bahkan Dr. Tuna menawarkan dua menu istimewa lain iaitu nasi arab buluh tuna dan nasi goreng kunyit cili padi.

 

KHARTINI menunjukkan menu berasaskan tuna yang terdapat Dr. Tuna di Laman Perikanan, Maeps, Serdang baru-baru ini.

 

Bercerita mengenai menu pertama, Khartini berkata, sate tuna tanpa lidi akan dicampur bersama nasi arab dan diletakkan di dalam buluh sebelum dibakar antara 30 hingga 40 minit sehingga masak.

“Kaedah memasak nasi arab buluh sama seperti membakar lemang, cuma masanya lebih singkat. Rasa isi tuna juga akan lebih wangi, beraroma dan membangkitkan selera, lebih-lebih lagi dimakan dengan sos pudina.

“Ramai yang tidak menyangka padanan tuna dan nasi arab boleh jadi begitu sedap dan tidak memuakkan, tetapi itulah kelebihan menu kami yang perlu dicuba sendiri oleh pelanggan,” katanya sambil memberitahu, nasi arab buluh tuna perlu ditempah sehari lebih awal dan dijual pada harga RM25 sebatang.

 

PAF roti goreng berinti tuna dan mozarela turut dijual di gerai Dr. Tuna.

 

Kunyit hidup

Di samping itu, pelanggan juga boleh menikmati nasi goreng kunyit cili padi yang dihidangkan bersama dua cucuk sate tuna.

Menyentuh mengenai keunikan juadah itu, Khartini berkata, kunyit hidup digunakan bagi menyerlahkan rasa ikan tuna, selain memberi warna kuning keemasan kepada nasi.

“Bagi melengkapkan juadah ini, kami sediakan sup tauhu Jepun dan set hidangan ini dijual pada harga RM12.50.

“Kanak-kanak dan golongan berumur juga pasti akan menyukai sate tuna ini kerana selain sedap, ia juga lebih berkhasiat dan baik untuk kesihatan kerana kaya dengan pelbagai nutrien seperti omega-3, vitamin D dan vitamin B kompleks,” jelasnya.

Untuk hidangan snek, Khartini berkata, pelanggan boleh mencuba paf tuna iaitu kepingan roti berintikan tuna, keju mozarela dan sos krim putih dengan disaluti bijirin jagung.

“Loin tuna segar seberat 10g digunakan menjadikan menu ringkas ini lebih enak dan berkualiti berbanding kebanyakan snek di pasaran yang menggunakan isi tuna dalam tin.

“Jika tiada aral melintang, kami akan menjadikan snek ini dalam bentuk sejuk beku menjelang akhir tahun ini berdasarkan permintaan tinggi pelanggan.

“Kami juga akan mengeluarkan produk kepingan daging burger tuna,” ujarnya.

Sate tuna boleh didapati pada harga bermula RM5 untuk dua cucuk hingga RM24 bagi 10 cucuk.

Pelanggan juga boleh mendapatkan sate tuna dalam bentuk sejuk beku pada harga RM25 sekotak yang mengandungi 10 cucuk di www.ummart.space.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI