fbpx

Pengerusi pengurusan kuil ditahan selepas buat ugutan jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SATU daripada dau pucuk pistol yang dirampas dalam satu serbuan ke atas sebuah pejabat milik seorang lelaki di Balakong, Cheras semalam.

Oleh EDDY HAMIDI

PETALING JAYA – Polis menahan seorang lelaki tempatan yang juga merupakan pengerusi persatuan pengurusan sebuah kuil di kawasan Sea Park di sini serta merampas dua pucuk pistol bersama 13 butir peluru selepas menerima satu laporan berhubung satu ugutan jenayah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita pada 18 Ogos lalu memaklumkan telah diugut oleh seorang lelaki berusia 41 tahun yang dikenalinya.

“Ketika kejadian, mangsa bersama suaminya yang merupakan bekas pengerusi persatuan pengurusan kuil yang sama telah diugut oleh suspek selepas berlaku pertengkaran di antara mereka di kawasan parkir awam berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Dalam pertengkaran tersebut telah berlaku ugutan menggunakan bahasa Tamil yang telah menimbulkan ketakutan kepada pasangan suami isteri itu dan pertengkaran tersebut telah dirakam dan tular di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee, siasatan awal mendapati telah berlaku perselisihan faham di antara suspek dan mangsa mengenai perebutan kuasa dalam urusan pengurusan kuil berkenaan dan mangsa pernah membuat dua laporan polis ke atas suspek pada 13 Ogos lalu.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya telah membuat tangkapan ke atas suspek di kawasan Sea Park di sini kira-kira pukul 3.15 pagi semalam.

“Pihak polis seterusnya membuat serbuan ke atas pejabat suspek di Balakong, Cheras kira-kira pukul 11.30 malam hari sama dan merampas dua pucuk pistol untuk membantu siasatan yang dijalankan,” jelas beliau.

Jelas Nik Ezanee, semakan mendapati suspek mempunyai lesen senjata api sah yang dikeluarkan oleh IPD Kajang dan pistol yang dirampas merupakan jenis kompak caliber 9 milimiter bersama lapan butir peluru serta SRA pistol Elektra 9×19 9 milimeter bersama lima butir peluru.

“Suspek kini dibebaskan dengan jamin polis kerana tempoh reman sehari untuk siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan telah tamat namun dua pucuk pistol yang dirampas itu masih di dalam simpanan polis,” ujar beliau.

Tambah Nik Ezanee, siasatan ke atas kedua-dua individu yang bertelagah itu masih diteruskan bagi meneliti pembabitan serta pengaruh ‘Geng 21’ dan ‘Geng 08’ juga ‘Geng 04’ di dalam pertelingkahan ini dan sekiranya terbukti, tindakan pencegahan akan menyusul.

“Pihak polis IPD Petaling Jaya turut menyeru mana-mana individu yang menyebarkan mesej menerusi aplikasi Whatsapp mendakwa suspek terlibat dengan Geng 04 dan mengawal semua projek pembinaan, kelab malam, pusat urut serta meminta wang perlindungan dengan sokongan dan kerjasama polis IPD Petaling Jaya agar tampil menyalurkan maklumat berkenaan dakwaan itu.

“Saya memandang serius dakwaan ini dan siasatan yang telus akan dijalankan serta tindakan seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang akan diambil sekiranya terkesan penglibatan juga salah laku mana-mana pegawai dan anggota polis,” tegas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI