SPIELBERG – Prinsipal pasukan Red Bull KTM Tech3, Herve Poncharal menolak sebarang kemungkinan mengenai pelumba Ducati, Andrea Dovizioso meyertai pasukan itu sambil menyifatkannya sebagai hal mustahil.
Pengurus Dovizioso, Simone Battistella minggu lalu mendedahkan bahawa pelumba berasal dari Itali itu tidak akan bersama Ducati bagi musim 2021.
Berita itu menimbulkan spekulasi mengenai pasukan mana yang bakal disertai pelumba berusia 34 tahun tersebut selepas bersama pasukan Ducati sejak tahun 2013.
Sebaik sahaja menjuarai perlumbaan pada Grand Prix (GP) Austria minggu lalu, Dovizioso mengakui dia masih mahu meneruskan karier perlumbaannya meskipun menamatkan kontrak bersama
Ducati, namun satu-satunya tempat kosong yang masih ada musim depan ialah pasukan Aprillia.
Menariknya, pelumba baharu KTM Tech3, Iker Lecuona pula gagal menampilkan prestasi yang diharapkan pada debut pertamanya dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada tahun ini telah menguatkan lagi khabar angin mengenai kehadiran Dovizioso ke dalam pasukan tersebut.
“Secara jujur, kesemua empat pelumba KTM memiliki kontrak dan polisi pasukan juga menekankan nilai kemanusian dan menghormati pelumba. Jadi, pada saya amat mustahil untuk KTM melanggar salah satu kontrak itu dan saya tidak melihat ia akan berlaku.
“Saya ada dimaklumkan bahawa Dovizioso dan Battistella ada bercakap dengan Pengarah KTM Motorsport, Pit Beirer tetapi saya tidak mengetahui lebih daripada itu.
“Tidak dinafikan bahawa bekerja dengan Dovizioso sangat menyenangkan, namun kami sudah ada barisan pelumba bagi musim 2021 dan saya fikir perkara itu tidak akan berubah. Bagi saya memang agak mustahil,” kata Poncharal. – AGENSI