KUALA LUMPUR – Pertubuhan Multiracial Reverted Muslims (MRM) berazam mahu memperkasakan lagi usaha dakwah kepada orang ramai.
Pengasas dan Pengerusinya, Firdaus Wong berkata, pemerkasaan dakwah di media bukan sahaja melibatkan berkongsi kebenaran dan kebaikan Islam tetapi mencegah kemungkaran yang banyak disebarkan menerusi media sosial.
“Kami sedang dalam usaha untuk mengambil antara 12 hingga 15 lagi pekerja untuk menjadikan jumlah kakitangan sepenuh masa MRM kepada 30 orang bagi melaksanakan visi dan misi MRM.
“Setakat ini, lebih dari 800 individu telah memeluk Islam bersama MRM baik dalam dan luar negara semenjak MRM didaftarkan secara rasmi pada 5 Februari 2014,” katanya.
Ujar Firdaus, agenda dakwah itu antara lain disertakan dengan projek kebajikan dengan pembukaan cawangan MyKampung Fresh Mart yang pertama di Seksyen 24 Shah Alam, Selangor pada 11 Jun lalu.
“Objektif utama pembukaan MyKampung Fresh Mart (MKFM) adalah menjana pendapatan dan lebih 50 peratus keuntungan akan disalurkan kembali untuk usaha dakwah serta kebajikan MRM dalam dan luar negara.
“Antara keunikan MKFM ini adalah kami tidak menjual rokok dan arak, memberikan ruang yang luas untuk pengusaha Muslim memajukan perniagaan dengan meletakkan sasaran sekurang-kurang 50 peratus produk yang kami jual adalah milik Muslim atau diedarkan oleh orang Islam,” ujarnya.
Tambah Firdaus, MKFM juga kami meletakkan ‘Foodbank’ yang mana mereka yang kurang berkemampuan boleh mengambil sahaja makanan asas seperti beras, tepung, gula, minyak, telur, biskut dan banyak lagi secara percuma tanpa mengira bangsa dan agama. – K! ONLINE