fbpx

Lelaki Perancis gelang merah jambu negatif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lelaki Perancis yang memakai gelang kuarantin dikesan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada petang ini.

LANGKAWI – Lelaki Perancis yang dikesan memakai gelang merah jambu di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di sini pada petang tadi sebenarnya telah menjalani saringan Covid-19 dan dalam perjalanan pulang ke pulau peranginan itu untuk kuarantin.

Warga asing terbabit menjalani saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pagi ini dan didapati negatif wabak tersebut sebelum diarahkan supaya kuarantin di rumah.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim memberitahu, Balai Polis Padang Mat Sirat menerima panggilan telefon daripada polis bantuan di LTAL tentang seorang lelaki warga asing yang baru tiba dari KLIA memakai gelang kuarantin kira-kira pukul 3.30 petang ini.

Kata beliau, lelaki itu menaiki pesawat Qatar Airways dari Paris ke Doha pada semalam dan seterusnya ke KLIA dengan pesawat sama.

“Dia tiba di KLIA pada pukul 8.25 pagi ini dan disaring oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) KLIA dan keputusan saringan tersebut adalah negatif Covid-19.

“Seterusnya lelaki itu diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumahnya yang beralamat di Jalan Pantai Cenang, Langkawi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Iqbal, pihak KKM juga telah mengarahkan lelaki terbabit untuk bertemu dengan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan(CPRC) Kedah pada 1 September yang mana dia dikehendaki menjalani saringan kali kedua pada 2 September ini.

“KKM Langkawi juga telah berhubung dengan KKM KLIA dan telah mendapat kebenaran untuk dia membuat kuarantin di rumah di Langkawi,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya dan KKM akan membuat pemantauan ke atas warga asing tersebut di rumahnya di sini bagi memastikan dia mematuhi arahan kuarantin tersebut.

“Nasihat saya agar netizen jangan panik dan sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard KKM sepanjang berada di Langkawi,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI